fbpx
Now Reading
Denda RM50,000, Penjara 2 Tahun Kerana Abaikan 5 Kucing Peliharaan Hingga Mati Kelaparan
bangkai kucing

Denda RM50,000, Penjara 2 Tahun Kerana Abaikan 5 Kucing Peliharaan Hingga Mati Kelaparan

Hakim, Siti Aminah Ghazali turut menjatuhkan hukuman penjara tambahan setahun kepada tertuduh sekiranya gagal membayar denda sebaik sahaja dia mengaku bersalah atas pertuduhan itu.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Gara-gara mengabaikan lima ekor kucing peliharaan hingga menyebabkan haiwan tersebut mati kelaparan, seorang lelaki telah dijatuhi hukuman penjara selama dua tahun serta denda RM50,000.

Hukuman tersebut telah dijatuhkan oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, semalam (28 Mac).

Mengaku bersalah, tambahan setahun penjara jika gagal bayar denda

Tertuduh, Lim Chia Lin, 31 yang mengaku bersalah terhadap pertuduhan itu kemudian diperintahkan oleh Hakim, Siti Aminah Ghazali untuk menjalani hukuman penjara tambahan selama setahun jika gagal membayar denda.

Berdasarkan pertuduhan, dia yang juga seorang jurujual dan pemilik atau penjaga kepada lima haiwan berkenaan telah didakwa tidak menyediakan keperluan makanan serta minuman yang cukup hingga mengakibatkan kesemua kucing yang dikurung mati serta bangkainya turut ditemui.

Kesalahan itu dilakukan oleh tertuduh di rumah yang disewanya di Bandar Sri Permaisuri, Cheras antara 14 Jun dan 3 Julai pada tahun lalu (2022).

Tertuduh didakwa di bawah Seskyen 29(1)(D) Akta Kebajikan Haiwan 2015 yang memperuntukkan denda maksimum RM100,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya jika disabitkan kesalahan.

Pemilik rumah sewa dapat aduan berhubung rumah bau busuk

Mengikut fakta kes, pengadu yang merupakan pemilik rumah disewa tertuduh telah mendapat aduan dari pihak penduduk kondominium berhubung rumah terbabit berbau busuk seperti bangkai pada 11 Mac lepas.

Pengadu lalu membuat pemeriksaan terhadap rumah tersebut sebelum menjumpai bangkai kucing berada di dalam sangkar dan diletakkan di luar rumah sebelah pintu.

Nasihat tertuduh untuk buang sangkar yang terdapat bangkai kucing

Dia kemudian menasihati tertuduh agar sangkar itu dibuang untuk mengelakkan penduduk dari membuat aduan mengenainya.

Selepas dua hari, pengadu bersama pengawal keselamatan serta pengurus bangunan telah berkunjung semula ke kediaman tersebut bagi meminta sewa bulanan yang tidak dibayar sejumlah RM1,400.

Namun dia kemudian mendapati sangkar terbabit belum dibuang selain mendapati pintu rumah tidak dikunci menyebabkan mereka kemudian masuk bagi melakukan pemeriksaan.

Bagi alasan ‘tong’ untuk simpan ayam perap sebelum dipintas hakim

Bau busuk itu kemudian dikesan di bahagian dapur yang berpunca daripada peti sejuk dan daging kisar yang berada di dalam baldi, manakala Chia Lin sedang lena di dalam biliknya.

Sebelum ini semasa prosiding, tertuduh yang tidak diwakili oleh mana-mana peguam telah meminta agar denda minumum disebabkan tertuduh hanya memiliki pendapatan RM1,500 sebulan.

Dia kemudian memberikan alasan ‘tong’ yang dijumpai itu digunakan untuk menyimpan ayam perap tetapi penjelasan itu dipintas oleh hakim yang menyatakan Chia Lin hanya boleh merayu hukuman diringankan

“Tak kisah kucing perap ke ayam perap ke kerana kamu sudah mengaku bersalah terhadap pertuduhan. Kamu boleh merayu untuk mengringankan hukuman saja,” kata Siti Aminah dipetik Harian Metro.

Timbalan Pendakwa Raya minta Chia Lin dipenjara tempoh yang panjang sebagai pengajaran

Dalam pada itu, Timbalan Pendakwa Raya, Wan Ahmad Hakimi Wan Ahmad Jaafar meminta Chia Lin dipenjarakan bagi tempoh yang panjang sebagai pengajaran kepada orang ramai agar tidak mengabaikan tanggungjawab kepada haiwan peliharaan.

Jelasnya, tertuduh perlu menyediakan makanan serta minuman yang cukup selain tempat tinggal yang selesa buat haiwan tersebut, tetapi dia meninggalkan kucing berkenaan kering-kontang tanpa rasa kasihan.

“Tertuduh pulang ke kampungnya di Sarawak selama sebulan bermula Jun 2022 tanpa menyediakan sebarang makanan dan minuman hingga kucing itu mati kebuluran.

“Tertuduh tidak mengambil langkah proaktif untuk menanam bangkai, sebaliknya membiarkan begitu saja hingga menimbulkan masalah bau busuk dalam kejiranan kondominum berkenaan.

“Bukan sahaja pencinta kucing, orang biasa pun akan merasa sedih melihat bangkai binatang dibiarkan begitu sahaja dalam keadaan menyayat hati,” ujarnya.

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.