Samun & Guna Wang Untuk Beli Aksesori Motor, Pengawal Keselamatan Dicekup Polis
Menurut PDRM, suspek kemudian menjual rantai emas yang diragut dan menggunakan wang tersebut untuk membeli aksesori motosikalnya.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Seorang pengawal keselamatan dicekup polis selepas disyaki terbabit dalam kejadian menyamun rantai emas milik seorang pemandu peribadi di Jalan Tasek Tambahan, Ampang Jaya, Selangor pada 28 Mac lalu.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak memaklumkan dalam kejadian lebih kurang jam 12.40 tengah malam itu mangsa yang berusia sekitar 54 tahun sedang memandu kenderaan dengan bersendirian.
“Suspek yang merupakan seorang lelaki tempatan berusia 30 tahun itu menunggang motosikal jenis Honda EX5 sebelum bertindak menghimpit kereta jenis BMW yang dipandu mangsa.
“Suspek kemudian menumbuk cermin sebelah pemandu sehingga mengakibatkan mangsa terpaksa menurunkan cermin kereta dipandunya kerana khuatir dipecahkan oleh suspek,” jelasnya dipetik dari Sinar Harian.
Ludah ke arah mangsa sebelum ragut rantai emas
Menurutnya, individu itu juga dipercayai telah bertindak agresif apabila meludah kepada mangsa sebelum berjaya meragut rantai emas yang dipakainya.
“Anggaran kerugian dialami mangsa sejumlah RM3,000.”
Hasil siasatan yang dilakukan, suspek yang bekerja sebagai pengawal keselamatan di Tasek Permai Ampang kemudian berjaya ditahan pada hari sama sekitar jam 9.45 malam oleh sepasukan anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Daerah (IPD) Ampang Jaya.
Jual rantai emas dan beli aksesori motosikal
Tambah beliau, siasatan mendapati lelaki tersebut telah bertindak menjual emas yang diragutnya ke sebuah kedai pajak di daerah Ampang dan hasil wang itu kemudian digunakan suspek untuk membeli aksesori yang dipasang pada motosikal miliknya.
“Polis turut merampas satu set pakaian, satu topi keledar, dokumen resit pajak gadai, seutas rantai emas, alat kawalan jauh motosikal dan sebuah motosikal yang digunakan semasa kejadian,” maklumnya.
Hasil semakan dilakukan terhadap lelaki itu turut mendapati suspek mempunya satu rekod jenayah lampau.
“Suspek direman tujuh hari untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 392 Kanun Keseksaan,” jelasnya lagi.