fbpx
Now Reading
Baru Setahun Berkahwin, Wanita Di Terengganu Maut Dipukul Suami Dengan Tukul

Baru Setahun Berkahwin, Wanita Di Terengganu Maut Dipukul Suami Dengan Tukul

Suspek, Mohd Amir Hamzah kemudiannya bertindak memberitahu ahli keluarga tentang perbuatannya ‘menukul’ mangsa sebelum mereka membuat laporan polis.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Seorang wanita di Terenganu maut selepas dipukul suaminya dengan menggunakan tukul besi sekitar 8.00 pagi semalam (5 April).

 Dalam insiden yang berlaku di Kampung Besol, Bukit Besi itu, mangsa, Rubiah Sabtu disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di bahagian muka.  

Baru setahun berkahwin, berlaku perselisihan faham dengan suami

Menurut Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah, polis mengesyaki berlaku perselihan faham di antara pasangan berkenaan menyebabkan lelaki berkenaan, Mohd Amir Hamzah, 30, bertindak di luar kawalan.

Jelas beliau, mangsa yang berusia 41 tahun dan suspek baru setahun mendirikan rumah tangga.

Tambah beliau lagi, suspek kemudiannya bertindak memberitahu ahli keluarga tentang perbuatannya sebelum mereka membuat laporan polis.

“Polis sudah menahan suspek untuk siasatan lanjut bagi mengenal pasti motif pembunuhan dan kes disiasat Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.

Mangsa baru pulang hantar anak ke sekolah

Memetik Buletin TV3, sebelum insiden berlaku, mangsa baru sahaja pulang ke rumah selepas menghantar anaknya ke sekolah. Sebaik tiba di rumah, dia dan suaminya mula bertengkar. Namun memetik sumber, motif sebenar insiden masih dalam siasatan.

Tambah laporan sama, sebaik membunuh mangsa, lelaki berkenaan lantas keluar dari rumah dan terus ke rumah datuknya yang kebetulan tidak jauh dari rumah mereka.

Suspek kemudian dalam keadaan menangis dan ketakutan memberitahu kakaknya bahawa dia telah membunuh isterinya dengan menggunakan tukul sebelum pulang ke rumah.

Suspek menangis, cuba bunuh diri kerana ketakutan

Tidak lama kemudian, suspek pulang semula ke rumahnya sambil menangis. Dia juga dilaporkan cuba membunuh diri kerana ketakutan namun dapat dipujuk ahli keluarga dan jiran-jirannya.

Mangsa merupakan peniaga dan berniaga di kampung berkenaan. Dia juga dilaporkan mempunyai lapan anak iaitu tujuh orang hasil perkahwinan terdahulu dan seorang bayi berusia enam bulan hasil perkahwinan dengan suspek.

Suspek seorang yang lembut

Dalam pada itu, seorang adik tiri mangsa, meluahkan rasa terkejut dengan apa yang berlaku. Ini kerana menurutnya, suspek seorang yang baik dan lemah lembut.

Jelasnya lagi, dia kali terakhir berhubungan dengan mangsa kira-kira jam 1 pagi kelmarin (4 April) kerana kerana mangsa mahu meminjam kipas untuk bayinya yang kepanasan.

“Saya memang tak sangka kerana mereka berdua tidak ada masalah sebelum ini. Abang ipar pun seorang yang pendiam, baik dan selalu mengaji.

“Tetapi yang saya perasan kakak (mangsa) kelihatan sugul beberapa hari kebelakangan ini. Tak sangka sungguh dia akan pergi dengan cara begini,” katanya.

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.