Hampir setiap tahun pada bulan Ramadan pasti ada sahaja laporan mengenai serangan Israel terhadap penduduk Palestin seperti video yang tular di media sosial sejak semalam (5 April)
Malah polis Israel bukan hanya menyerang tetapi turut turu mencederakan umat Islam di sana ketika mereka sedang menjalankan ibadah di masjid.
Baca artikel berkaitan: Rejim Zionis Kembali Serang Jemaah Masjid Al-Aqsa Di Bulan Ramadan [Video]
JAKIM minta masjid & surau buat solat hajat hari ini
Susulan dari tindakan keji itu, pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) telah diarahkan agar setiap masjid dan surau di bawah seliaannya untuk menjalankan Solat Hajat pada hari ini (6 April).
Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar masjid yang berada di bawah seliaan JAKIM adalah Masjid Negara, Masjid Putra dan Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin.
Selain itu, masjid serta surau di bawah seliaan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) juga turut diminta untuk melakukan Solat Hajat pada hari yang sama.
Kecam tindakan kejam polis Israel serang jemaah Masjid Al-Aqsa
Jelas Mohd Na’im pihaknya mengecam sekeras-kerasnya tindakan yang dibuat oleh polis Israel yang bertindak menyerang serta menggunakan kekerasan terhadap rakyat di Palestin serta jemaah yang berada di Masjid Al-Aqsa pada 5 April lalu sehingga mengakibatkan kecederaan kepada orang awam.
“Tindakan polis Israel menceroboh Masjid Al-Aqsa adalah biadap serta amat tidak bertanggungjawab. Malah tindakan tersebut berulang setiap tahun ketika umat Islam menjalani ibadah di bulan Ramadan,” ujar beliau.
Justeru itu, pihak Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) ingin menyeru seluruh rakyat negara ini dan masyarakat dunia untuk mengecam tindakan yang dibuat oleh rejim Zionis serta menggesa agar serangan dan kekerasan terhadap jemaah Al-Aqsa dihentikan.
“Bersempena bulan Ramadan Al-Mubarak ini, marilah bersama-sama kita mendoakan keselamatan dan kesejahteraan kepada saudara-saudara kita di Palestin.