fbpx
Now Reading
Pengedar Dadah Di Sabah Ditembak Mati Selepas Langgar Anggota Polis Dengan Kereta

Pengedar Dadah Di Sabah Ditembak Mati Selepas Langgar Anggota Polis Dengan Kereta

Anggota polis terpaksa melepaskan tembakan untuk mempertahankan diri selepas suspek yang sedang memecut laju melanggarnya.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Semalam (8 April), seorang pengedar dadah ditembak mati polis selepas dia bertindak melanggar dua anggota polis yang cuba menahannya di tepi jalan, Jalan Plum Oil Industrial Cluster (POIC) Phase 2, Sabah.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu Asisten Komisioner Dr Rohan Shah Ahmad berkata, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Lahad Datu bertindak menahan sebuah kereta jenis Perodua Viva dipandu seorang lelaki kerana disyaki terlibat dalam aktiviti pengedaran dadah.

Suspek yang ingin ditahan secara tiba-tiba bertindak agresif

Menurutnya, dalam kejadian yang berlaku sekitar 11.45 pagi itu, suspek yang hendak ditahan secara tiba-tiba mengundurkan keretanya dengan agresif dan melanggar salah seorang anggota polis.

“Suspek kemudiannya membuat pusingan U dan memecut kereta dipandunya dengan melawan arus dan turut melanggar seorang lagi anggota dalam pasukan yang cuba menghalang lelaki berkenaan.

“Bagaimanapun, anggota berkenaan sempat melepaskan tembakan ke arah kereta suspek bagi tujuan mempertahankan diri sebelum dilanggar.

“Suspek memecut kereta dipandunya kerana cubaan melarikan diri daripada ditahan oleh pasukan serbuan dan kemudian dilihat terbabas pada jarak 400 meter dari tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan media, hari ini (9 April).

Menurutnya lagi, pemeriksaan ke atas suspek setelah kenderaannya berhenti mendapati dia sudah tidak sedarkan diri dan terbaring di bahagian tempat duduk penumpang.

Suspek disahkan meninggal dunia, polis rampas syabu seberat 7.45 gram

Jelas Rohan, pegawai perubatan yang bertugas mengesahkan suspek telah meninggal dunia di lokasi kejadian.

“Pemeriksaan lanjut polis merampas dadah disyaki syabu seberat 7.45 gram bernilai RM1,490, dua samurai dan kereta Perodua Viva.

“Suspek warga tempatan berusia 28 tahun dan hasil semakan mendapati suspek mempunyai lima rekod kesalahan lampau membabitkan jenayah narkotik dan komersial (wanted),” katanya.

Berkongsi lanjut, Rohan berkata kes disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan atas kesalahan cuba bunuh dan Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana mengedar dadah jenis syabu.

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.