Kerajaan Akan Wujudkan Laman Web Khas Lawan Tuntutan Sulu, Fuad A Kiram Diklasifikasi Sebagai Pengganas
Menurut Azalina, laman web itu akan menceritakan secara lebih terperinci tentang sejarah tuntutan tersebut dengan fakta tepat serta kenapakah tuntutan waris itu harus ditolak sama sekali.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Umum mengetahui, isu mengenai tuntutan melampau pihak yang mendakwa sebagai waris kepada kesultanan Sulu terhadap Malaysia bukanlah sesuatu yang baharu.
Malah, Malaysia pernah mencatatkan sejarah hitam apabila sekumpulan pengganas daripada Filipina yang mendakwa sebagai ‘Askar Diraja Kesultanan Sulu telah mencerobohi Kampung Tanduo, Lahad Datu, Sabah pada 2013 dengan alasan ingin menuntut negeri itu.
Pun begitu, masih ada segelintir rakyat di negara ini tidak mengetahui secara terperinci mengenai permasalahan itu sehingga meninggalkan tanda tanya tentang apa sebenarnya yang berlaku dan bagaimana ia bermula.
Kerajaan lancar laman web khas maklumat mengenai tuntutan waris Sultan Sulu
Susulan itu, Kerajaan Malaysia bakal mengambil langkah dengan melancarkan lawan web yang mengandungi segala maklumat perkembangan terkini tuntutan pihak yang mendakwa kononnya waris Sultan Sulu bermula hari ini (12 April).
Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, laman web itu akan dikenali sebagai ‘Malaysia-Sulu Case’.
“Pihak kerajaan akan berkongsi status terkini dan perkembangan kes yang serba rumit ini untuk rujukan awam.
“Laman sesawang rasmi tersebut akan dipapar dalam lima bahasa iaitu Melayu, Inggeris, Filipina, Perancis dan Sepanyol.
“Kerajaan berharap rakyat dan komuniti di seluruh dunia akan mendapat maklumat tepat berhubung naratif sahih isu tuntutan ini yang mungkin tidak diketahui selama ini,” katanya dalam sesi libat urus bersama media semalam (11 April).
Laman web itu akan menceritakan secara terperinci tentang sejarah tuntutan
Menurutnya, laman web itu akan menceritakan secara lebih terperinci tentang sejarah tuntutan tersebut dengan fakta tepat serta kenapakah tuntutan waris itu harus ditolak sama sekali.
Antaranya adalah seperti prosiding yang dibiayai oleh satu dana litigasi dikenali sebagai Therium dan pihak terlibat didapati bersubahat untuk menuntut AS$14.9 bilion daripada Malaysia.
Klasifikasikan Fuad Kiram sebagai pengganas
Dalam pada itu, salah seorang penuntut daripada Kumpulan Sulu itu iaitu Fuad A Kiram juga telah diklasifikasikan sebagai pengganas.
Menurut Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEU) Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud, Fuad telah disenaraikan dalam entiti yang diklasifikasi sebagai pengganas di bawah Seksyen 66B Akta Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001 berkuat kuasa sejak 6 April 2023.
Malaysia diarahkan bayar RM62.6 bilion, namun tidak dilayan oleh kerajaan
Terdahulu, media melaporkan mahkamah timbang tara di Perancis telah mengarahkan Malaysia untuk membayar sekurang-kurangnya AS$14.92 bilion (RM62.6 bilion) kepada pewaris Sultan Sulu pada tahun lepas.
Bagaimanapun, pihak kerajaan telah mengumumkan bahawa mereka tidak akan melayan tuntutan berkenaan.
BACA ARTIKEL BERKAITAN: Isu Pampasan RM62 Bilion, Malaysia Tolak & Tidak Iktiraf Tuntutan Waris Sultan Sulu
BACA ARTIKEL BERKAITAN: