fbpx
Now Reading
Lelaki Tular Sengaja Halang Kereta Wanita Dari Keluar ‘Parking’, Siap Cakap Lucah Sudah Ditahan Polis

Lelaki Tular Sengaja Halang Kereta Wanita Dari Keluar ‘Parking’, Siap Cakap Lucah Sudah Ditahan Polis

Menurut Ketua Polis Daerah Port Dickson, hasil saringan awal urin terhadap lelaki terbabit juga negatif dan tiada rekod kesalahan lampau.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Sengaja cari masalah, mungkin itulah ringkasan yang boleh dikatakan terhadap seorang lelaki apabila tular video dia menghalang kenderaan seorang wanita di tempat parkir selain dengan sengaja turut mengeluarkan kata-kata berbaur lucah.

Difahamkan, kejadian berlaku di Bandar Springhill, Port Dickson pada Isnin lalu (10 April) sekitar jam 6.30 petang.

Mangsa bersama 4 anak terpaksa menunggu sehingga setengah jam

Akibat perbuatan pentingkan diri lelaki terbabit, wanita berusia 33 tahun itu bersama empat anaknya terpaksa menunggu sehingga setengah jam sebelum keretanya berjaya dikeluarkan dari petak parkir.

Foto: Twitter/MALAYSIAVIRALLL

Menurut Sinar Harian, mangsa yang enggan dikenali berkata kejadian itu berlaku ketika dia mahu mengeluarkan keretanya dari petak parkir namun telah dihalang oleh sebuah kereta jenis Perodua Kelisa.

“Saya meminta anak saya memberi isyarat kepada pemandu kereta tersebut untuk alihkan kenderaannya tetapi tidak diendahkannya.

“Kemudian saya membunyikan hon tetapi dia tetap buat tak tahu saja dan bercakap dengan telefon serta mengeluarkan kata-kata tak sepatutnya kepada saya,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian semalam (11 April).

Orang awam bantu keluarkan kereta sikit demi sedikit

Menurutnya, orang awam yang melihat kejadian itu juga meminta lelaki terbabit mengalihkan kenderaannya namun tidak dilayan.

“Akhirnya saya terpaksa keluarkan kereta saya sedikit demi sedikit dengan dibantu orang awam.

“Saya telah membuat laporan polis dan sehingga hari ini saya dan anak-anak masih trauma dengan apa yang berlaku,” katanya lagi.

Lelaki terbabit telah ditahan polis

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Port Dickson Superintendan Aidi Sham Mohamed berkata, pihaknya telah menahan lelaki berusia 38 tahun itu untuk siasatan lanjut.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 509 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955 kerana telah mengaibkan kehormatan serta mengeluarkan perkataan tidak sopan di khalayak awam.

“Hasil saringan awal urin terhadap lelaki itu adalah negatif dan tiada rekod kesalahan lampau,” katanya.

Berkongsi lanjut, Aidi Sham turut menasihati orang ramai agar tidak mencetuskan kegusaran awam dengan menviralkan video tersebut serta memberi komen yang boleh menjejaskan ketenteraman awam.

Jelasnya, perbuatan penyebaran yang tidak bertanggungjawab merupakan satu kesalahan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1988.

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.