fbpx
Now Reading
Wanita Disyaki Curi Kad ATM, Sakau Duit Dalam Akaun Bank Ibu Saudara Untuk Beli iPhone 14 Pro Ditahan Polis

Wanita Disyaki Curi Kad ATM, Sakau Duit Dalam Akaun Bank Ibu Saudara Untuk Beli iPhone 14 Pro Ditahan Polis

Dia yang ditahan di Pandan Perdana disyaki berjoli dan mencuri wang RM8,200 dari akaun bank milik ibu saudaranya.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Baru-baru ini, media sosial kecoh mengenai dakwaan seorang wanita yang mencuri wang dari kad ATM milik individu lain untuk berbelanja sesuka hatinya.

Susulan kes tular tersebut, pihak polis telah berjaya menahan suspek di Pandan Perdana pada awal pagi ini (14 April).

Disyaki curi wang RM8,200 milik ibu saudara untuk beli iPhone 14 Pro

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya berkata, suspek disyaki mencuri wang berjumlah RM8,200 dari akaun bank ibu saudara tirinya untuk membeli telefon pintar jenis iPhone 14 Pro.

Menurutnya, pihak polis menerima laporan mengenai kes terbabit daripada seorang wanita tempatan pada 25 Mac lalu.

“Transaksi (pengeluaran wang) bermula pada 23 Mac secara berperingkat.

“Suspek seorang wanita tempatan ditahan di sebuah premis di Pandan Perdana jam 12.25 tengah malam,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Polis temui kad ATM milik mangsa dan rampas iPhone 14 Pro yang dibelinya

Menurutnya lagi, polis turut menemui kad ATM milik mangsa dan merampas telefon pintar yang dibeli olehnya hasil duit mencuri itu.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Jenayah Komputer 1997,” katanya lagi.

Terdahulu, kejadian tersebut didedahkan oleh mangsa menerusi satu hantaran Facebook yang menyatakan suspek mencuri kad ATM miliknya semasa menumpang tidur di rumahnya.

Layanan baik yang diberikan dibalas dengan mencuri

Dalam hantaran itu, mangsa juga meluahkan rasa kekecewaannya kerana layanan baik yang diberikan dibalas dengan kejadian sebegini apatah lagi di bulan pertama Ramadan.

Berkongsi lanjut, mangsa berkata dia terkejut setelah menyedari baki di dalam akaun bank miliknya hanya tinggal RM500.

Ini sekaligus menyebabkan dia tidak mampu membayar komitmen bulanan seperti rumah sewa dan sebagainya.

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.