fbpx
Now Reading
Penagih Dadah ‘Amuk’ Di Balai Polis, Gigit Jari Anggota Hingga Putus

Penagih Dadah ‘Amuk’ Di Balai Polis, Gigit Jari Anggota Hingga Putus

Hasil saringan ujian air kencing mendapati suspek positif dadah jenis amphetamin dan methaphetamin selain mempunyai rekod ‘wanted’.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Seorang lelaki di bawah pengaruh dadah ditahan selepas menyerang dan menceroboh Pos Pengawal Balai Polis Sungai Besi, Kuala Lumpur pada Selasa (17 April).

Malah suspek bertindak agresif apabila menggigit jari seorang anggota polis bertugas sehingga putus.

Menurut Ketua Polis Daerah Cheras Asisten Komisioner Zam Halim Jamaluddin, kejadian berlaku kira-kira jam 10.15 malam apabila beberapa anggota polis didatangi seorang lelaki tempatan berusia 34 tahun di hadapan pos berkenaan.

Suspek kemudian menjerit mahu menyimbah asid sebelum menyimbah air mineral di muka dan badan anggota terbabit lalu meluru ke perkarangan balai polis berkenaan.

“Suspek turut membaling satu tin minuman tenaga ke arah dinding kaca sebelah kiri dan mengakibatkannya pecah.

“Keadaan itu menyebabkan berlaku pergelutan antara suspek dengan anggota polis ketika mereka cuba membuat tangkapan ke atas lelaki berkenaan.

“Bagaimanapun, suspek bertindak agresif dengan menggigit jari manis tangan kanan salah seorang anggota polis berkenaan sehingga putus pada bahagian hujung jari,” katanya dipetik dari Harian Metro.

Suspek ada rekod dikehendaki dan positif dadah

Suspek yang turut tercedera kemudiannya berjaya ditahan. Hasil saringan ujian air kencing mendapati suspek positif dadah jenis amphetamin dan methaphetamin selain dia juga mempunyai rekod dikehendaki polis berhubung kes penipuan.

“Difahamkan, suspek pernah mendapat rawatan psikiatrik pada 2020 tetapi tidak memiliki sebarang kad rawatan mental.

“Suspek direman selama empat hari bermula hari ini hingga 21 April depan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 325 dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan serta Seksyen 90 Akta Polis 1967,” katanya.

Beliau dalam masa sama turut menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian itu.

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.