fbpx
Now Reading
Kes Bella, Siti Bainun Dihukum Penjara 12 Tahun
Siti bainun dipenjara 12 tahun

Kes Bella, Siti Bainun Dihukum Penjara 12 Tahun

Hakim memutuskan hukuman berkenaan selepas Siti Bainun gagal menimbulkan keraguan yang munasabah di akhir kes untuk pembelaan terhadap dua pertuduhan iaitu mengabai dan menganiaya Bella.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Hari ini (3 Mei), Pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali telah didapati bersalah oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur terhadap dua pertuduhan iaitu mengabai dan menganiaya remaja perempuan Sindrom Down, Bella dan dijatuhkan hukaman penjara selama 12 tahun.

Hakim, Izralizam Sanusi memutuskan hukuman tersebut sebaik sahaja mendapati pihak pembelaan Siti Bainun, 31, tidak berjaya untuk menimbulkan keraguan yang munasabah di akhir kes bagi pembelaan terhadap dua pertuduhan berkenaan, lapor Kosmo.

Didakwa abai dan anaiya Bella iaitu remaja Sindrom Down pada 2021

Berdasarkan pertuduhan pertama dan kedua, pengasas Rumah Bonda itu sebelum ini didakwa mengabai dan menganiaya Bella yang berusia 13 tahun hingga mengakibatkan mangsa mengalami kecederaan fizikal dan emosi di sebuah kediaman unit kondominium di Wangsa Maju, Kuala Lumpur antara Februari hingga Jun 2021.

Sehubungan itu, pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 31(1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya.

Untuk pertuduhan pertama Siti Bainun berdepan dengan penjara 10 tahun.

Bagi pertuduhan kedua pula dia dipenjara selama 12 tahun.

Namun hukuman berjalan serentak bermula tarikh sabitan pada hari ini (3 Mei).

Peguam Mohon Pertimbang Saiz Badan Siti Bainun Sebelum Jatuh Hukuman

Sewaktu prosiding pihak pembelaan memohon kepada Mahkamah Sesyen agar mempertimbangkan saiz badan pengasas Rumah Bonda itu.

Menurut peguam, Mohammad Farhan Maaruf yang mewakili Siti Bainun, mahkamah perlu mempertimbangkan perkara itu memandangkan anak guamnya mempunyai masalah kesihatan.

“Amaun jaminan yang dimasukkan bagi menjamin kehadirannya di mahkamah termasuk kos tambahan adalah mencukupi untuk membayar denda maksimum jika dibenarkan mahkamah.

“Saya memohon mahkamah pertimbang gerak kerja sosial Siti Bainun dalam bidang kebajikan serta kesukarelawan.

“Anak guam perlu menjaga ibu dan hanya menjalankan perniagaan menjual kek,” katanya lapor Berita Harian.

Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Zahida Zakaria bagaimanapun berkata pertuduhan terhadap Siti Bainun adalah serius kerana hampir keseluruhan badan Bella ada kesan lecur dan parut yang mana akan kekal seumur hidup remaja itu.

“Seterusnya, pihak pendakwaan mengambil kira kepentingan awam akibat kesalahan dilakukan oleh tertuduh. Kepentingan awam seharusnya mengatasi faktor lain dalam mempertimbangkan hukuman terhadap tertuduh termasuk kepentingannya sendiri.

“Adalah menjadi prinsip untuk menunjukkan keseriusan kesalahan, mahkamah patut guna budi bicara dalam menjatuhkan hukuman bagi mencegah tertuduh melakukan jenayah berulang kali, selain mengelak mesej disampaikan kepada masyarakat bahawa kesalahan itu adalah ringan.

“Tertuduh mempunyai perintah mahkamah untuk menjaga bella, namun salah guna kedudukan amanah yang diberikan untuk mengabai dan menganiaya bella.

“Tertuduh dilihat sebagai sukarelawan yang dipercayai dan dihormati masyarakat mengabai dan menganiaya seorang kanak-kanak yang sebenarnya amat mengharapkan kasih sayang. Ini bagaikan ‘harapkan pagar, pagar makan padi’,” ujarnya.

Baca artikel berkaitan:

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.