
Pembantu Jurulatih Selam Skuba Didakwa Cabul Pelancong Wanita China Ditahan Polis
Menurut Pemangku Ketua Polis Semporna, suspek ditahan reman selama lima hari sehingga 11 Mei untuk siasatan lanjut.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Baru-baru ini, tular di media sosial satu video yang menunjukkan kelakuan tidak senonoh pembantu jurulatih skuba terhadap seorang pelancong wanita China ketika sedang melakukan aktiviti terbabit.
Susulan itu, pihak polis telah bertindak menahan suspek lelaki yang berusia 27 tahun itu kerana disyaki melakukan perbuatan cabul terhadap wanita berkenaan.
Suspek ditahan selepas mangsa buat laporan polis
Menurut Pemangku Ketua Polis Daerah Semporna Asisten Superintendan Arif Abdul Razak, lelaki terbabit ditahan di sebuah penginapan atas air di Semporna, Sabah selepas mangsa membuat laporan pada jam 10.03 pagi, Sabtu lalu (6 Mei).
Jelas Arif, mengikut keterangan mangsa yang berumur 25 tahun itu, kejadian dikatakan berlaku kira-kira 1 tengah hari Jumaat (5 Mei).
“Mangsa mendakwa dicium oleh seorang pembantu jurulatih selam skuba (Divemaster) ketika melakukan aktiviti selam skuba di kawasan perairan sebuah pulau peranginan di sini (Semporna),” katanya menerusi kenyataan media semalam (8 Mei).
Menurutnya lagi, sejurus membuat laporan, pelancong wanita tersebut terus bergerak ke Lapangan Terbang Tawau sebelum berlepas ke Kuala Lumpur dan seterusnya menyambung penerbangan pulang ke negara asalnya.
Suspek ditahan reman 5 hari untuk siasatan lanjut
Berkongsi lanjut, Arif berkata suspek yang bekerja separuh masa sebagai pembantu jurulatih selam skuba itu ditahan reman selama lima hari sehingga 11 Mei depan untuk siasatan lanjut.
“Kes disiasat mengikut 354 Kanun Keseksaan kerana mencabul,” katanya lagi.
Tular video lelaki cium pelancong wanita ketika skuba
Terdahulu, tular di media sosial satu video yang menunjukan seorang lelaki mencium seorang wanita ketika sedang melakukan aktiviti skuba.
Selain itu, turut ditularkan adalah tangkap layar perbualan suspek bersama mangsa dan gambar laporan polis.
