Tiada Lagi Penggunaan Beg Plastik Pada Tahun 2025
Malaysia merupakan antara 10 negara di dunia yang berhadapan dengan masalah sampah plastik tidak terurus.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Kerajaan bersedia untuk menghentikan penggunaan beg plastik di semua sektor perniagaan di Malaysia pada tahun 2025. Menurut Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Azmi Nik Ahmad, pelaksanaan ini akan dibuat secara berfasa dari premis tetap (seperti pasar raya) diikuti premis perniagaan termasuk warung atau peniaga gerai tepi jalan.
Kuasa Kerajaan Negeri Dan Pihak Berkuasa Tempatan
Menurut beliau, kaedah pelaksanaan, kadar caj yang dikenakan dan kekerapan serahan kutipan adalah bergantung kepada kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT).
“Cuma cara pelaksanaan dan (kadar caj yang dikenakan serta kekerapan serahan kutipan) kita sudah berikan ruang pada kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT) kerana mereka (kerajaan negeri dan PBT) ada konteks tersendiri.”
Nik Azmi Nik Ahmad, Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim
Dalam memastikan objektif pelaksanaan ini tercapai, pendekatan yang bakal diambil tidak hanya terhad kepada denda, malah akan ada insentif dalam menggalakkan peralihan berkenaan.
Perincian mengenai perkara ini akan diumumkan dari semasa ke semasa.
Kempen Bebas Beg Plastik
Dalam usaha untuk menangani isu pencemaran sisa plastik di Malaysia, salah satu inisiatif daripada pelan jangka panjang kerajaan yang telah dilaksanakan adalah Kempen Bebas Beg Plastik.
Namun, hanya empat negeri di Malaysia yang mendahului dalam melaksanakan kempen ini. Empat negeri tersebut adalah Selangor, Pulau Pinang, Johor dan Negeri Sembilan.
Bagi tahun 2020, World Wildlife Fund (WWF) melaporkan, anggaran penggunaan bungkusan plastik makanan sahaja di Malaysia mencecah 148,000 metrik tan. Ujar beliau lagi, ia bukan rekod yang harus dibanggakan.
Baca Artikel Berkaitan: Tular Video Wanita Buang Sampah, Keluarga Dakwa Mereka Buang Saka