fbpx
Now Reading
Malaysia-United Kingdom Selesai Tandatangani MoU Untuk Kerjasama Bidang Pendidikan
MoU Malaysia-United Kingdom

Malaysia-United Kingdom Selesai Tandatangani MoU Untuk Kerjasama Bidang Pendidikan

Melalui pemeteraian ini, lebih ramai pelajar UK akan melanjutkan pengajian di Malaysia dan kedua-dua pihak dapat bekerjasama dalam penyelidikan dan pertukaran pelajar.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Hari ini (10 Mei), Kerajaan Malaysia dan United Kingdom (UK) menerusi Kementerian Pendidikan negera masing-masing telah selesai menandatangai memorandum persefahaman (MoU) dalam bidang pendidikan tinggi. Memorandum tersebut adalah bertujuan untuk memantapkan jalinan kerjasama dalam sektor pendidikan buat kedua-dua buah negara ini.

MoU tersebut telah ditandatangani oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi Datuk Seri Abdul Razak Jaafar bagi pihak kerajaan Malaysia. Manakala, Setiausaha Tetap bagi Pendidikan UK Susah Acland-Hood mewakili kerajaan di United Kingdom (UK).

Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di UK Datuk Zakri Jaafar turut menyaksikan penandatangan MoU berkenaan yang telah berlangsung di Department of Education (DfE) di United Kingdom. Antara lain yang turut hadir adalah Naib Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Prof Datuk Md Amin Md Taff, serta Naik Canselor Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) Prof Dr Fadzli Adam.

Sumber: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT)

Antara skop kerjasama dalam bidang pendidikan tinggi yang telah dibentangkan merangkumi pelan bagi memantapkan lagi kerjasama strategik dalam bidang penyelidikan saintifik serta latihan bakat institusi pendidikan tinggi di Malaysia dan United Kingdom (UK).

Menurut MoU berkenaan juga, ia antara lain merangkumi perlaksanaan pertukaran kakitangan akademik, guru, pelatih, pakar dan pelajar antara Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) selepas berunding dengan Kementerian Pendidikan Tinggi Malaysia dan Department of Business and Trade (DBT) mengenai program yang akan memberi manfaat bersama kepada kedua-dua pihak, seperti:

  • Menyediakan platform latihan kepada pentadbir pendidikan dan guru termasuklah yang terlibat dengan latihan dalam perkhidmatan.
  •  Menawarkan biasiswa untuk melanjutkan pelajaran di institusi pendidikan tinggi yang diiktiraf oleh kedua-dua pihak.

Selain itu, ia juga bagi melaksanakan program dua hala di antara institusi pendidikan tinggi yang diiktiraf oleh Malaysia-United Kingdom yang akan memberikan faedah bersama untuk kedua-dua buah negara ini.

Antara lainnya, MoU ini turut menyasarkan untuk berusaha ke arah melaksanakan pemindahan kredit dan program yang serupa antara institusi pendidikan tinggi kedua-dua pihak dan kemungkinan pengiktirafan bersama untuk kelayakan akademik.

Kerjasama ini turut mengetengahkan bantuan dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan Dan Matematik (STEM), Teknologi Informasi Dan Komunikasi (ICT), Pendidikan Dan Latihan Teknikal Dan Vokasional (TVET), inovasi, pembelajaran dalam talian, pembelajaran sepanjang hayat dan keusahawanan.


Justifikasi MoU Malaysia-United Kingdom.

Untuk rekod, memorandum kerjasama Malaysia-United Kingdom dalam bidang pendidikan tinggi ini telah diketengahkan untuk dimeterai berdasarkan justifikasi-justikasi yang telah dipersetujui bersama.

MoU ini dipercayai bakal mengukuhkan lagi kerjasama pendidikan di antara kedua-dua buah negara dan menambahkan bilangan jumlah pelajar UK yang akan melanjutkan pengajian di Malaysia dan kedua-dua pihak dapat bekerjasama dalam penyelidikan dan pertukaran pelajar.

Sumber: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT)

Menerusi pemeterian ini, melihat dari sudut positifnya, pertukaran pelajar antara kedua-dua buah negara akan memberi pendedahan dan perspektif yang lebih luas kepada pelajar Malaysia untuk memahami dengan lebih jelas mengenai sosio-budaya pelajar antarabangsa.

Malah, kerjasama pendidikan di peringkat antarabangsa secara tidak langsung akan merangsang IPT negara untuk terus terus bersaing secara sihat dalam penawaran program pengajian yang berkualiti demi menarik lebih ramai pelajar antarabangsa untuk melanjutkan pengajian di institusi masing-masing.

Bukan setakat itu sahaja, kemasukan pelajar-pelajar antarabangsa dari United Kingdom (UK) juga akan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara melalui pertukaran mata wang asing.

Sekadar info, Abdul Razak akan berada di London untuk lawatan kerja sehingga 12 Mei 2023. Sepanjang keberadaan beliau di sana, antara agenda yang telah dirancang adalah Mesyuarat Meja Bulat Menteri Pendidikan ASEAN yang antara lain membincangkan perancangan serta pembangunan sektor pendidikan Asia Tenggara, serta topik-topik berkaitan seperti perubahan iklim, kesaksamaan gender, TVET, dan juga pengaplikasian dan transformasi teknologi digital.

KSU KPT dalam masa yang sama dilaporkan turut mengambil peluang untuk bertemu dengan lebih 300 orang penuntut Malaysia yang berada di UK pada majlis Hari Raya Madani.

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.