Ketua Penerangan UMNO, Datuk Seri Azalina Othman Said mengesahkan menteri dari parti itu akan membangkitkan isu berhubung kalimah Allah pada Mesyuarat Jemaah Menteri yang akan berlangsung pada esok, 17 Mei.
Azalina dalam satu kenyataan yang dikongsikan di Twitter berkata, UMNO kekal mendukung prinsip parti terutama membabitkan Islam sebagai agama Persekutuan termasuklah isu penggunaan kalimah Allah.
“UMNO akan kekal terus berjuang menegak dan mempertahan Islam sebagai Agama Persekutuan serta menghormati prinsip kebebasan beragama seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
“Menteri-menteri UMNO akan membangkitkan perkara ini untuk dibincangkan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri pada esok hari.”
Isu kalimah Allah perlu dikendalikan dengan cermat
Tambah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) itu lagi, isu tersebut perlu dikendalikan dengan cermat.
Ini kerana ia melibatkan sensitiviti dan kebebasan beragama selain keharmonian antara rakyat yang berbilang kaum di Malaysia.
“Dalam hal ini, penelitian yang lebih mendalam diperlukan untuk menangani isu ini secara adil dan saksama kepada semua pihak yang terlibat.
“Penyelesaian yang menyeluruh perlu dibincang dan dicapai, termasuk pendekatan perundangan yang kukuh yang merangkumi rujukan perkara ini ke Mahkamah Persekutuan selain pendekatan bukan perundangan,” katanya.
Semalam (15 Mei) media melaporkan Kerajaan Malaysia dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah menarik semula rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang memutuskan bahawa penganut agama Kristian boleh menggunakan kalimah yang sinonim dengan Islam dalam penerbitan bahan agama Kristian bagi tujuan pembelajaran.
Antara kalimah tersebut adalah seperti Allah, Baitullah, Kaabah dan solat.
Difahamkan notis pemberhentian rayuan semakan kehakiman berkenaan difailkan Pejabat Peguam Negara pada 18 April lalu di Pejabat Pendaftar Mahkamah Rayuan di Putrajaya.
Perkara itu kemudiannya disahkan Peguam Kanan Persekutuan, Shamsul Bolhassan, lapor Sinar Harian.
Keputusan tersebut menimbulkan tanda tanya di kalangan penganut agama Islam di Malaysia bahkan ada yang meminta kerajaan memberi jawapan kenapa mereka berbuat demikian.