fbpx
Now Reading
Pelajar Di Sabah Saman Guru Bahasa Inggeris Kerana 7 Bulan Tak Masuk Mengajar

Pelajar Di Sabah Saman Guru Bahasa Inggeris Kerana 7 Bulan Tak Masuk Mengajar

Menurut bekas pelajar itu, antara kerugian yang dialami olehnya semasa ketidak hadiran guru tersebut untuk mengajar adalah dia tidak mendapat pendidikan yang baik pada ketika itu.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Siapa sangka, seorang guru Bahasa Inggeris di Sabah telah disaman oleh pelajarnya sendiri gara-gara tidak menghadiri kelas selama tujuh bulan.

Bekas pelajar terbabit yang dikenali sebagai Siti Nafirah Siman berusia 23 tahun dikatakan mengambil tindakan sedemkian untuk membuka mata guru lain supaya tidak mengabaikan pendidikan pelajar mereka.

Saman untuk sedarkan guru jangan pandang rendah golongan bawahan

Siti Nafirah selaku plaintif dalam kes tersebut memberitahu mahkamah dalam nada sebak bahawa tindakan itu juga dibuat untuk menyedarkan sesetengah guru bahawa mereka tidak seharusnya memandang rendah golongan bawahan.

Alumni Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taun Gusi, Kota Belud itu berkata demikian bagi menjawab soalan yang diajukan oleh peguamnya, Shireen Sikayun pada hari pertama perbicaraan.

“Saya katakan apa yang berlaku seperti mimpi. Saya harap apa yang saya lakukan ini akan menyedarkan sesetengah guru bahawa mereka tidak sepatutnya mengabaikan dan memandang rendah golongan bawahan serta memberikan mereka tahap pendidikan sama seperti diberikan kepada golongan atasan, itu sahaja,” katanya di hadapan Hakim Datuk Ismail Brahim yang dipetik daripada Berita Harian.

Siti Nafirah menamakan bekas gurunya, Mohd Jainal Jamrin sebagai defendan pertama kes tersebut dalam saman yang difailkan olehnya pada 30 Oktober 2018.

Selain itu, Pengetua SMK Taun Gusi, Suid Hanapi; Pegawai Pendidikan Daerah Kota Belud; Pengarah Pendidikan Sabah; Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia; Menteri Pendidikan dan Kerajaan Malaysia, masing-masing sebagai defendan kedua, ketiga, keempat dan kelima.

Guru gagal hadir ke kelas selama 7 bulan, pelbagai kerugian dialami pelajar

Siti Nafirah mendakwa guru tersebut gagal hadir ke kelas untuk mengajar matapelajaran Bahasa Inggeris di Tingkatan 4 selama tujuh bulan pada 2015.

Ketika ditanya mengenai kerugian yang dialaminya kerana kegagalan guru tersebut hadir mengajar, Siti Nafirah berkata dia tidak mendapat pendidikan yang baik ketika itu.

Selain itu, dia terpaksa membahagikan masa untuk mempelajari sukatan pelajaran Tingkatan 4 semasa di Tingkatan 5 dan dia berasa peluang untuk mendapat pekerjaan yang baik semakin kurang.

Buku kawalan bukti kehadiran guru mengajar di kelas

Siti Nafirah juga memaklumkan bahawa buku kawalan adalah bukti kemasukan guru ke dalam kelas untuk mengajar.

Dalam prosiding yang dijalankan, Siti Nafirah berkata buku kawalan bagi Kelas 4PD disimpan oleh pihak sekolah dan permintaannya daripada defendan melalui peguamnya sehingga kini tidak diterima.

Mengulas lanjut, Siti Nafirah turut mendedahkan bahawa dia dan rakannya telah diminta oleh pengetua untuk menulis esei memohon maaf serta menulis perkara baik mengenai Sir JJ supaya guru itu mengajar semula sedangkan kandungan itu tidak benar.

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.