fbpx
Now Reading
Kenaikan OPR Bukan Untuk Keuntungan Bank Sahaja, Kata PM

Kenaikan OPR Bukan Untuk Keuntungan Bank Sahaja, Kata PM

Berdasarkan hasil anggaran bagi tempoh satu tahun pendapatan, kenaikan kadar OPR 0.25% membantu bank menjana keuntungan bersih sebanyak 3.7% atau RM30.07 bilion.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Isu kenaikan Kadar Dasar Semalaman (OPR) masih lagi menjadi perbualan hangat yang diperkatakan sehingga kini.

Rata-rata setiap individu mempunyai pandangan masing-masing berhubung pengumuman Bank Negara Malaysia (BNM) berkaitan kenaikan OPR pada 3 Mei lalu.

Malah bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dalam satu kenyataannya turut berpendapat kenaikan OPR hanya akan menguntungkan sektor perbankan.

Ujar Lim Guan Eng, berdasarkan anggaran yang dibuat oleh Penganalisis di Hong Leong Investment Bank Bhd (HLIB) bagi tempoh satu tahun pendapatan, kenaikan kadar 0.25% membantu bank menjana keuntungan bersih sebanyak 3.7% atau RM30.07 bilion.

Jumlah ini berbeza berdasarkan unjuran asal keuntungan yang dianggarkan hanya RM28.99 bilion.

Baca Artikel Berkaitan:

Rakyat Tak Untung – Kenaikan OPR Hanya Untungkan Bank, Kata Lim Guan Eng

Bank perlu tanggung kadar faedah simpanan yang tinggi

Terbaharu Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan kenaikan OPR bukan bertujuan untuk mengutamakan kepentingan sesetengah pihak seperti bank sahaja.

Meskipun industri perbankan mendapat manfaat daripada kenaikan OPR, namun bank perlu menanggung kadar faedah simpanan yang lebih tinggi dan ini meningkatkan lagi kos pendanaan bank berbanding sebelumnya.

“Ekonomi yang sihat dan keadaan harga yang lebih stabil akan memberi kesan limpahan yang lebih baik kepada semua pihak.

“Pada paras OPR terkini iaitu 3.00% seperti diumumkan oleh MPC pada 3 Mei 2023, dasar monetari masih akomodatif dan menyokong pertumbuhan ekonomi negara. Melangkah kehadapan, MPC akan terus memastikan pendirian dasar monetari kekal konsisten dengan prospek inflasi dan pertumbuhan dalam negeri,” katanya dalam jawapan bertulis di Parlimen.

Kenyataan bertulis itu diberikan Anwar dalam sidang di Parlimen sewaktu menjawab pertanyaan Guan Eng yang meminta penjelasan tentang rasional BNM menaikkan OPR pada kadar 0.25% ketika Indeks Harga Pengguna (IHP) telah reda dan turun daripada 3.7% pada Februari menjadi 3.4% pada Mac 2023.

Ekonomi Semakin Pulih

Tambah PM, semasa negara menghadapi krisis Covid-19, Malaysia berhadapan dengan cabaran kemelesetan ekonomi sehingga menyebabkan kadar OPR diturunkan dengan kadar yang paling rendah iaitu 1.75% pada tahun 2020.

Namun, ekonomi di Malaysia dilihat semakin pulih dan kukuh semasa berada di fasa pemulihan sejak tahun 2022.

“Ekonomi Malaysia terus mengukuh dan perkara ini turut disokong oleh pelbagai penunjuk data yang positif. Kadar pertumbuhan ekonomi pada 2022 juga telah melebihi paras pra-pandemik. Malah, tahap pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) bagi suku pertama iaitu sebanyak 5.6% terus melepasi paras purata KDNK pada 2011 hingga 2019 yang pernah dicatatkan sebelum ini,” ujarnya.

“Tambahan pula, keadaan pasaran pekerjaan yang terus bertambah baik (digambarkan oleh kadar pengangguran yang semakin rendah iaitu 3.5% pada suku pertama 2023 berbanding 3.6% pada suku keempat 2022) turut menyokong aktiviti perbelanjaan isi rumah yang kekal berdaya tahan,” ujar beliau lagi.

Dasar Makro Perlu Dikaji Semula

Anwar berpendapat agar dasar makro perlu dikaji semula agar negara tidak terbeban dengan pertumbuhan ekonomi yang tidak mampan dan tekanan harga yang melampau pada masa hadapan akibat daripada dasar makro yang tidak bersesuaian.

Tambahnya lagi, hal ini terutamanya disebabkan oleh kewujudan tekanan harga yang didorong oleh permintaan yang kukuh sejajar dengan pemulihan kegiatan ekonomi.

Pada Suku Pertama 2023, harga petrol RON97 yang lebih rendah mendorong inflasi menurun ke paras 3.6% berbanding 3.9% pada Suku Keempat 2022.

Walau bagaimanapun, inflasi masih berada pada paras yang tinggi berikutan permintaan dalam negeri yang masih kukuh dalam keadaan ekonomi yang lebih teguh.

“Bagi memastikan ekonomi negara terus berkembang pada kadar yang mampan dan inflasi terus terkawal, BNM telah bertindak awal dalam melaraskan kadar dasar OPR secara beransur-ansur sejak Mei 2022. Tindakan tersebut adalah penting untuk memastikan OPR berada pada tahap yang wajar dan sesuai dengan keadaan makroekonomi,” katanya.

“Sekiranya OPR dikekalkan pada paras terlalu rendah untuk tempoh yang terlalu lama ketika keadaan ekonomi semakin kukuh, ia akan menjurus kepada perbelanjaan dan pinjaman yang terlalu tinggi,” tambahnya lagi.

Kenaikan OPR pengaruhi rakyat berjimat, dapat tingkatkan simpanan

Dalam pada itu beliau berkata, kenaikan kadar OPR juga akan mempengaruhi rakyat Malaysia supaya lebih berhati-hati dalam berbelanja. Ini sekali gus dapat meningkatkan simpanan mereka.

Jelasnya kenaikan itu berlaku apabila permintaan barangan dan perkhidmatan terlalu tinggi berbanding bekalan, justeru harga akan cenderung untuk meningkat.

Anwar berkata demikian bagi mengulas soalan Riduan Rubin (BEBAS-Tenom) yang memintanya untuk menyatakan mekanisme penampan yang dirangka pihak kementerian bagi menangani kesan negatif kenaikan OPR kepada 3%, lapor Utusan.

Untuk info, Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Bank Negara Malaysia menaikkan kadar OPR sebanyak 25 mata asas kepada 3.00% pada 3 Mei lalu. Ia merupakan kenaikan pertama bagi tahun 2023 dan kenaikan kelima bagi tempoh setahun sejak Mei 2022.

Baca Artikel Berkaitan: Selain OPR, Faktor Lain Juga Boleh Mempengaruhi Kadar Inflasi – Kajian The Future

Baca Artikel Berkaitan: BNM Tak Kejam Naikkan OPR, Kata Gabenor Bank Negara

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.