Tertipu Dengan Tawaran Darjah Kebesaran ‘Datuk Seri’, Kontraktor Kerugian RM571,000
Scammer itu memaklumkan tiada bayaran dikenakan bagi anugerah darjah kebesaran tersebut tetapi mangsa hanya perlu membuat sumbangan bagi ‘program-program istana’.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Seorang lelaki berusia 63 tahun mendakwa telah mengalami kerugian sebanyak RM571,000 selepas menjadi mangsa penipuan individu yang menyamar sebagai ‘Datuk Pengelola Bijaya Istana Pahang’ pada pertengahan Februari lalu.
Suspek dikatakan menelefon mangsa yang juga merupakan seorang kontraktor dan menawarkan tawaran darjah kebesaran yang membawa gelaran ‘Datuk Seri’.
Suspek berkata masih terdapat enam kuota lagi bagi memenuhi kekosongan anugerah kebesaran tersebut.
Mangsa Salur RM571,000 Melalui 32 Transaksi
Scammer itu memaklumkan tiada bayaran dikenakan bagi anugerah darjah kebesaran tersebut tetapi mangsa hanya perlu membuat sumbangan bagi ‘program-program istana’.
Teruja dengan tawaran yang diberikan, mangsa bersetuju untuk menerima tawaran tersebut dan turut mempelawa empat lagi rakannya untuk bersama-sama mendapat gelaran berkenaan.
Menurut Ketua Polis Pahang, Datuk Yahaya Othman, bermula Februari lalu, suspek mula meminta beberapa sumbangan daripada mangsa dan sejak daripada itu, mangsa telah membuat penyaluran sebanyak RM571,000 melalui 32 transaksi ke lima akaun bank yang berbeza.
Ujar beliau lagi, sumber kewangan tersebut adalah hasil kutipan dan wang simpanan mangsa bersama rakannya.
Kes ini disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan. Sekiranya didapati bersalah, individu boleh dikenakan hukuman penjara tidak kurang setahun atau maksimum 10 tahun dan sebat serta dikenakan denda.
Dalam pada itu, Yahaya turut mengingatkan orang ramai yang menerima panggilan meragukan agar segera membuat semakan dengan polis atau agensi kerajaan bagi mengelak dari menjadi mangsa penipuan.
“Orang ramai juga diingatkan supaya membuat semakan nombor akaun dan nombor telefon yang diterima dipautan https://semakmule.rmp.gov.my terlebih dulu sebelum membuat sebarang transaksi,” katanya.
Baca Artikel Berkaitan: Takut Ditipu Scammer? Guna Aplikasi Ini Untuk Semak Akaun Bank & No Telefon Pihak Ketiga
Baca Artikel Berkaitan: Kerajaan Pinda Kanun Tatacara Jenayah, Mahu Bantu Pulangkan Segera Wang Mangsa Scam – PM [Video]
Baca Artikel Berkaitan: Ramai Jadi Mangsa Penipuan, LHDN Kongsi Enam Taktik Licik ‘Scammer’ Untuk Perdayakan Orang Ramai