fbpx
Now Reading
Wanita Warga Emas Hidap Strok Meninggal Dunia Disyaki Didera Anak Menantu

Wanita Warga Emas Hidap Strok Meninggal Dunia Disyaki Didera Anak Menantu

Hasil bedah siasat juga turut menunjukkan tiga tulang rusuk kiri mangsa patah akibat daripada tekanan.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Seorang wanita mualaf warga emas yang berusia 74 tahun meninggal dunia pada Khamis (1 Jun) kerana disyaki didera oleh anak dan menantunya.

Kejadian menyayat hati itu berlaku di Taman Cempaka Putih, Tambun Tulang, Perlis. Mangsa yang berasal dari Paka, Terengganu pada mulanya dikatakan tidak sedarkan diri dan dikejarkan ke Hospital Tuanku Fauziah (HTF), Kangar bagi mendapatkan rawatan.

Badan Mangsa Lebam-Lebam, Patah Tiga Tulang Rusuk Kiri

Menurut Ketua Polis Daerah Arau, Supritendan Ahmad Mohsin Md Rodi, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian ini pada jam 5.30 pagi daripada seorang Pegawai Perubatan Unit Kecemasan HTF.

“Hasil siasatan awal mendapati sekitar jam 4.10 pagi, wanita itu dikejarkan ke hospital disebabkan tidak sedarkan diri dan doktor yang memberi rawatan awal bagaimanapun mengesahkan mangsa meninggal dunia,” katanya.

Susulan daripada ini, mangsa dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar bagi tujuan bedah siasat dan mengenal pasti punca kematian.

“Mangsa kemudian dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar bagi menjalani proses bedah siasatan pada jam 3 petang tadi dan hasil keputusan bedah siasat mendapati terdapat kecederaan pada tubuh mangsa iaitu kesan lebam di bahagian kedua-dua belah mata, dahi, ubun kepala, lidah sisi kiri akibat tekanan,” kata beliau.

Malah, hasil bedah siasat juga turut menunjukkan tiga tulang rusuk kiri mangsa patah akibat daripada tekanan.

Polis masih menyiasat punca kematian warga emas ini dan menunggu keputusan makmal.

Wanita Warga Emas Telah Lama Derita Strok, Suspek Tertekan Dengan Mangsa

Menurut Ahmad Mohsin, kertas siasatan kini dibuka dan berdasarkan temubual awal mendapati anak perempuan mangsa mengaku memukul mangsa menggunakan tangan pada bahagian muka dan kepala pagi semalam.

Malah, suami wanita berkenaan yang berusia 34 tahun turut disyaki terlibat sama kerana kenyataan yang diberikan oleh lelaki tersebut diragui polis.

Difahamkan, berlaku satu pertengkaran antara mangsa dan anaknya. Suspek yang bekerja sebagai suri rumah dikatakan tertekan dengan perangai mangsa.

Mangsa juga dipercayai telah lama menderita akibat strok di bahagian badan sebelah kiri.

“Punca pertengkaran adalah disebabkan suspek tidak tahan dan tertekan dengan kerenah serta ragam mangsa sedangkan wanita itu dipercayai menderita akibat sakit strok di bahagian badan sebelah kiri,” ujar beliau.

Tambah beliau, suspek dan suaminya yang merupakan ahli perniagaan mengaku tidak bersalah atas tuduhan membunuh.

“Suspek wanita adalah suri rumah manakala suaminya adalah ahli perniagaan bagaimanapun tidak mengaku membunuh mangsa dan motif sebenar kejadian masih dalam siasatan,” katanya.

Suspek akan direman bagi tujuan membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Baca Artikel Berkaitan: Remaja Ditahan Selepas Tikam Orang Awam Sebagai Latihan Untuk Bunuh Ibu Sendiri

Baca Artikel Berkaitan: Kerana Cinta Tidak Berbalas, Lelaki Bunuh Wanita Warga Emas Umur 67 Tahun

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.