Lelaki Tunjal Kepala Wanita Gara-Gara Salah Faham Di Jalan Raya Sudah Ditahan Polis
Suspek seorang penyelia kilang berusia 29 tahun diberkas di Serdang, Selangor pada hari ini (6 Jun).
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Lelaki tular yang dirakam memukul kepala seorang pemandu wanita ketika dalam perjalanan dari Cameron Highlands menuju ke Tapah, Perak sudah pun ditahan polis hari ini (6 Jun).
Menurut Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri penahanan lelaki itu dilakukan sebaik pihak polis menerima laporan yang dibuat mangsa, seorang wanita berusia 24 tahun pada hari sama di Balai Polis Saujana Utama Sungai Buloh, Selangor.
Suspek seorang penyelia kilang berusia 29 tahun diberkas di Serdang, Selangor.
Difahamkan pihak berkuasa menjejaki suspek menerusi nombor plat kenderaan dinaikinya yang didaftarkan atas nama seorang wanita beralamat di Tanjong Karang, Selangor.
Insiden berlaku ketika suspek, mangsa turun dari Cameron Highlands
Jelas Mohd Yusri, siasatan mendapati kejadian berlaku pada Isnin, 5 Jun sekitar jam 5.33 petang ketika mangsa dan adik lelakinya berusia 17 tahun dalam perjalanan turun dari Cameron Highlands menuju ke Tapah.
“Wanita itu dikatakan mahu memotong sebuah kereta Proton Persona dipandu suspek namun gagal sebelum lelaki itu menunjukkan isyarat lucah dan memperlahankan kenderaan sehingga jalan mula menjadi sesak berhampiran Lata Iskandar.
“Pemandu itu kemudiannya turun dari kenderaan dan mengetuk cermin kereta pengadu. Pengadu bertindak membuka cermin kenderaan bagi berbincang namun suspek telah memarahi pengadu serta secara tiba-tiba dan memukul kepalanya serta mengeluarkan kata-kata ugutan,” kata Mohd Yusri dalam satu kenyataan.
Suspek akan dibawa ke IPD Tapah, Perak untuk siasatan selanjutnya. Kes disiasat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan, Seksyen 506 Kanun Keseksaan dan Seksyen 509 Kanun Keseksaan.
Terdahulu, video membabitkan lelaki dan wanita berkenaan tular di media sosial hingga mencetuskan kemarahan orang ramai.
Ada yang berpendapat sejauh mana kesalahan yang dilakukan wanita berkenaan, lelaki itu tidak sepatutnya berbuat sedemikian.
Baca artikel berkaitan: