“Jadi lelaki pun dah tak selamat.”
Begitulah perumpamaan yang dapat dikaitkan dengan satu kes ini apabila seorang remaja lelaki berdepan detik hitam dalam hidupnya selepas dicabul seorang lelaki warga asing di dalam sebuah tandas pusat beli belah di Cheras, Kuala Lumpur.
Susulan kejadian itu, pihak polis telah memberkas suspek yang juga seorang tukang cuci di pusat beli-belah berkenaan.
Menurut Ketua Polis Daerah Cheras Asisten Komisioner Zam Halim Jamaluddin, pihaknya menerima laporan polis mengenai kejadian itu daripada remaja lelaki berkenaan yang berusia 15 tahun pada pukul 2.00 petang kelmarin (4 Jun).
Suspek peluk,raba dan cium mangsa di dalam tandas
Jelasnya, ketika mangsa sedang mengikat tali kasut di tandas, tukang cuci itu secara tiba-tiba memeluk mangsa dari belakang sebelum memegang punggung dan mencium pipi.
“Mangsa bertindak keluar dari tandas namun suspek terus mengikutinya dari arah belakang dan bertindak memegang kemaluan remaja tersebut.
“Selepas kejadian itu mangsa berlari ke arah ibunya manakala suspek bertindak melarikan diri,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Berkongsi lanjut, Zam Halim berkata pihak polis yang bertindak mengikut maklumat telah berjaya menahan suspek pada hari yang sama.
Suspek berusia 37 tahun ditahan reman lima hari sehingga Jumaat ini
Ujar Zam Halim, suspek berusia 37 tahun itu ditahan reman selama lima hari sehingga Jumaat depan (9 Jun) dan kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 14(a) Akta 792, Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.
“Masyarakat dinasihatkan agar membuat laporan polis supaya siasatan dapat dijalankan terhadap pelaku dan hukuman setimpal mengikut peruntukan undang-undang dapat dikenakan kepada sesiapa yang terlibat,” katanya lagi.