Kanak-Kanak 11 Tahun Tular Bawa Kereta Di Jalan Raya Ditahan Polis
Menurut Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Cha Hoong Fong selain bapa dan kanak-kanak ditahan pihak polis turut merampas sebuah kenderaan jenis Proton Saga.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Baru-baru ini, tular satu video memaparkan seorang kanak-kanak lelaki sedang memandu sebuah kenderaan di jalan raya dipercayai di Klang, Selangor.
Menerusi video tersebut, kelihatan kanak-kanak berkenaan telah memandu kenderaan jenis Proton Saga berwarna silver di jalan besar sebelum masuk ke sebuah simpang.
Sebaik melepasi simpang kanak-kanak terbabit dilihat memberhentikan kenderaan dipandu dan membuka tingkap untuk menyapa rakan-rakan yang teruja melihatnya.
Insiden itu menarik perhatian orang ramai yang bimbang melihat tindakannya kerana dia pastinya tiada lesen memandu sekaligus boleh mengundang bahaya pada diri sendiri termasuklah pengguna jalan raya lain.
Bapa dan kanak-kanak pandu kereta ditahan polis
Susulan dari penularan video tersebut, pihak polis telah bertindak menahan bapa dan kanak-kanak berumur 11 tahun di kediaman mereka di Pandamaran, Klang.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong memaklumkan kejadian tersebut dilaporkan berlaku pada Jumaat (6 Jun) di Jalan Banting- Pandamaran (Jalan Kampung Pendamar), Klang, Selangor.
Jelas beliau penahanan bapa dan kanak-kanak itu dilakukan dalam satu serbuan yang dilakukan oleh Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Klang Selatan sekitar jam 1.15 pagi, semalam (11 Jun).
Kenderaan Proton Saga Dipercayai dipandu kanak-kanak dibawa ke balai polis
Sewaktu serbuan dilakukan, pihak polis turut merampas kenderaan Proton Saga dipercayai dipandu oleh kanak-kanak terbabit seperti yang tular di media sosial.
“Kenderaan serta kedua-dua subjek telah dibawa ke Balai Polis Trafik, Ibu Pejabat Daerah (IPD) Klang Selatan untuk siasatan lanjut.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 39 (1) APJ 1987 iaitu memandu di bawah umur dan Seskyen 111 APJ 1987 iaitu bersubahat atau membenarkan melakukan kesalahan.
“Jika disabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM2,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya serta hilang kelayakan daripada memandu atau mendapatkan mana-mana lesen memandu,” katanya.
Siasan turut dilakukan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001
Jelasnya lagi, siasatan berhubung kes turut dijalankan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa maksud melakukan perbuatan pengabaian atau mendedahkan kanak-kanak secara cuai dengan cara yang mungkin akan menyebabkan mengalami kecederaan fizikal atau emosi.
Sekiranya disabit dengan kesalahan boleh dihukum tidak melebihi RM5,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi 20 tahun atau kedua-duanya sekali.
“Orang ramai dinasihatkan agar tidak leka dan sentiasa mengawasi gerak-geri anak mereka supaya tidak melakukan tindakan yang boleh mengundang bahaya kepada diri sendiri atau harta benda orang lain.
“Perbuatan menularkan sebarang konten sama ada dalam bentuk video mahupun gambar secara sewenang-wenangnya adalah tidak digalakan demi menjaga imej dan privasi orang lain.
“Sebaliknya dinasihatkan terus ke balai polis berhampiran untuk membuat laporan,” ujarnya lagi.