Remaja Perempuan Disyaki Sembunyi Status Kehamilan, Reka Cerita Jumpa Bayi Pada Ibu
Liza juga mendakwa dia tidak sedar dengan kehamilan anaknya memandangkan fizikal remaja berkenaan yang sememangnya semula jadi berisi.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Seorang remaja perempuan yang berusia 18 tahun di Tumpat, Kelantan disyaki menyembunyikan kehamilan daripada ibunya.
Dia didakwa menipu dan mereka cerita berhubung penemuan seorang bayi perempuan di belakang rumah mereka.
Bayi Ditemui Dalam Keadaan Berbogel & Kebiru-Biruan
Menurut ibu remaja itu yang dikenali sebagai Liza, dia menerima panggilan daripada anaknya yang memaklumkan terdengar jeritan bayi di belakang rumah mereka.
“Saya ketika itu sedang bekerja di kedai kopi dan selepas menerima panggilan anak, saya tidak terus pulang kerana sedang membungkus nasi untuk pelanggan,” katanya.
Namun, kerana sibuk dengan kerja, dia meminta saudara untuk ke rumahnya terlebih dahulu bagi mendapat cerita sebenar.
“Tidak lama kemudian, anak menelefon sekali lagi dan saya meminta seorang saudara ke lokasi yang diberitahu untuk memastikan kesahihan berita itu,” katanya lagi.
Liza kemudiannya pulang ke rumah dan mendapat makluman daripada jirannya bahawa bayi perempuan yang ditemui berada dalam keadaan bogel dan kebiru-biruan manakala tali pusat telah dipotong serta uri telah ditanam tidak jauh dari tempat dia ditemui.
Lelehan Darah Pada Betis Remaja, Buat Ibu Syak
Menurut Liza yang berumur 37 tahun, dia mengesyaki anaknya sendiri yang melahirkan bayi tersebut berdasarkan kepada lelehan darah yang turun di betis remaja itu.
“Saya mendesaknya untuk mengaku bahawa bayi perempuan itu anaknya tapi dia enggan sebaliknya mendakwa lelehan darah yang turun di betisnya adalah kerana datang bulan,” ujarnya.
Liza juga mendakwa dia tidak sedar dengan kehamilan anaknya memandangkan fizikal remaja berkenaan yang sememangnya semula jadi berisi.
Tambahnya lagi, remaja perempuan itu baru sahaja menetap bersama dengannya sejak Ramadan lalu setelah kematian bekas suaminya akibat serangan strok.
Dia yang sedang hamil enam bulan hasil hubungan dengan suami barunya bertindak menghubungi pihak polis untuk tindakan selanjutnya.
“Buntu memikirkan perkara itu menyebabkan kami terpaksa menghubungi polis dan anak serta bayi perempuan itu dibawa ke hospital untuk tindakan lanjut,” ujarnya.
Remaja Kurang Sihat Dan Berasa Lapar
Ibu remaja berkenaan juga mendakwa tidak mengesyaki sebarang perkara yang pelik berlaku terhadap anaknya.
Namun, dia sedar anak dia berada dalam keadaan yang kurang sihat dan terasa lapar apabila bangun tidur pada jam 1 pagi di hari kejadian.
Dia dikatakan sempat menyediakan makanan sebelum pergi bekerja di sebuah kedai kopi untuk anak perempuannya itu.
Penemuan bayi perempuan itu telah disahkan oleh Ketua Polis Daerah Tumpat, Asisten Komisioner Amran Dolah dan kes kini dalam siasatan lanjut.
Baca Artikel Berkaitan: