
Dakwaan Jual Beras Plastik Di Sabah: KPDN Jalankan Siasatan, SazaRice Nafi & Buat Laporan Polis
SazaRice Sdn Bhd turut menegaskan beras keluaran mereka adalah berkualiti dan mematuhi piawaian yang telah diktiraf oleh HALAL, HACCP dan ISO 9001.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Baru-baru ini, tular satu video memaparkan seorang lelaki di Sandakan, Sabah meminta orang ramai untuk tidak membeli jenama sebuah beras kerana mendakwa ia adalah beras plastik.
Menerusi video berkenaan, individu tersebut turut menunjukkan ‘bukti’ bagi menguatkan dakwaannya dengan membaling beberapa kepalan nasi ke lantai.
Apa yang mengejutkan, kepalan nasi tersebut sama sekali tidak berderai sebaliknya melantun meskipun apabila dibaling ke lantai.
Turut kedengaran dipercayai pihak kedai runcit menyatakan mereka tidak mengetahui berhubung beras plastik itu kerana hanya menerimanya ketika ia dihantar.
Namun peruncit menjelaskan kepada pelanggan terbabit bahawa mereka akan memaklumkan kepada pihak berkenaan berhubung perkara itu.
KPDN lakukan siasatan berhubung beras plastik seperti yang didakwa
Susulan daripada penularan video itu, pemangku Menteri Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd Ali telah tampil meminta anggota penguat kuasa menjalankan siasatan berhubung video terbabit.
Malah beliau turut akan meneliti perkara tersebut kerana merasakan isu penjualan beras plastik tidak patut terjadi kerana hal itu melibatkan kesihatan pengguna.
“Saya mengambil maklum tentang insiden (jualan beras plastik) yang (didakwa) berlaku dan sudah mengarahkan siasatan diadakan serta merta.
“Penelitian dibuat melalui KPDN Cawangan Sandakan dan siasatan sedang dilakukan bersama Bahagian Kawalselia Padi dan Beras mengikut Seksyen 5 Akta Perihal Dagangan 2011 dan Akta Pelindungan Pengguna.
“Premis yang didakwa menjual beras plastik seperti dalam video tular juga sudah dilawati dan kita sedang mendapatkan maklumat tambahan daripada pengadu yang menularkan video terbabit,” jelasnya, lapor Harian Metro.
Beliau sementara itu turut menegaskan tindakan tegas akan diambil sekiranya dakwaan itu didapati benar.
Syarikat nafi jual beras plastik seperti yang tular di media sosial
Dalam pada itu, syarikat pengeluar beras iaitu SazaRice Sdn Bhd telah tampil menafikan dakwaan berkenaan.
Mereka dalam satu kenyataan berkata beras keluaran mereka adalah berkualiti dan mematuhi piawaian yang telah diktiraf oleh HALAL, HACCP dan ISO 9001.
Mereka turut menasihatkan orang ramai agar tidak terpengaruh dengan berita tidak benar tanpa pengesahan daripada pihak berkuasa.
“Pihak SazaRice tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang ke atas mereka yang cuba memburukkan nama baik Syarikat.”