
Lima Bekas Pelajar Diarah Bayar RM616,634 Kerana Buli Rakan Sekolah Hingga Pekak
Menurut peguam mangsa, kes ini merupakan kemenangan untuk anak guamnya termasuk semua mangsa kejadian buli di seluruh Malaysia.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Semalam (16 Oktober), lima bekas pelajar di sebuah sekolah di Terengganu diarah oleh Mahkamah Persekutuan Putrajaya untuk membayar ganti rugi sebanyak RM616,634.20 kepada seorang lagi pelajar yang menjadi mangsa buli.
Dalam kejadian lapan tahun lalu itu, mangsa yang berusia 14 tahun telah dibuli sehingga menyebabkan dia mengalami masalah kehilangan pendengaran.
Keputusan sebulat suara itu dibuat panel tiga hakim yang diketuai oleh Tan Sri Datuk Amar Abang Iskandar Abang Hashim. Turut bersidang ialah Datuk Mary Lim Thiam Suan dan Datuk Abdul Karim Abdul Jalil.
Ketiga-tiga panel hakim membenarkan rayuan akhir mangsa yang juga selaku plaintif
Dalam prosiding secara dalam talian semalam, kesemua hakim memutuskan demikian selepas membenarkan rayuan akhir mangsa selaku perayu selain mendapati sembilan pihak berkenaan bertanggungjawab dan cuai ke atas mangsa.

Semasa perbicaraan kes tersebut, mangsa yang juga selaku plaintif diwakili peguam, Wan Azliana Wan Adnan dan Hisyam Yusof.
Kemenangan ini untuk semua mangsa buli di seluruh Malaysia
Menurut Wan Azliana yang juga Ketua Penggerakan Penggubalan Akta Anti Buli itu, kes ini merupakan kemenangan untuk anak guamnya termasuk semua mangsa kejadian buli di seluruh Malaysia.
“Saya berharap keputusan kes ini dapat dijadikan pengajaran dan bertindak sebagai ‘deterrent’ bagi kes-kes buli yang lain,” katanya dipetik Kosmo.
Kejadian buli berlaku pada 2015 di bilik ketua pengawas
Untuk info, kejadian pukul, buli dan serangan itu berlaku di bilik ketua pengawas sebuah sekolah di Terengganu pada 26 April 2015 lalu.
Mereka ialah pelajar tingkatan lima sebagai defendan pertama sehingga kelima (kini berumur 25 tahun), penolong kanak hal ehwal murid (Keenam), Pengetua (Ketujuh), Ketua Kementerian Pendidikan Malaysia (Kelapan) dan Kerajaan Malaysia (Kesembilan).