fbpx
Now Reading
Pengguna Boleh Kemuka Tuntutan Jika Terlibat Dengan Kemalangan Di Lebuh Raya – Abdul Rahman

Pengguna Boleh Kemuka Tuntutan Jika Terlibat Dengan Kemalangan Di Lebuh Raya – Abdul Rahman

Menurut Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad, pengguna boleh mengemukakan tuntutan sekiranya terlibat dengan kemalangan yang berpunca daripada kecuaian syarikat konsesi lebuh raya seperti termaktub dalam perjanjian.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Sebagai pengguna jalan raya, pasti kebanyakan daripada kita sentiasa menerapkan sikap berhati-hati dan peka ketika memandu kenderaan.

Ini kerana kadang-kala sikap segelintir pengguna yang tidak bertanggungjawab boleh menjadi punca kemalangan walaupun kita memandu dengan cermat.

Tidak hanya disebabkan oleh sikap cuai pengguna jalan raya, terdapat pelbagai faktor lain yang turut menjadi punca kemalangan antaranya seperti halangan dan kerosakan infrastruktur jalan raya.

Pengguna Boleh Kemuka Tuntutan Jika Terlibat Kemalangan Di Lebuh Raya

Buat pengguna yang mengalami kemalangan akibat keadaan atau halangan pada infrastruktur di lebuh raya, anda boleh mengemukakan tuntutan kepada syarikat konsesi berkenaan.

Menurut Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad, mereka juga boleh mengemukakan tuntutan sekiranya terlibat dengan kemalangan yang berpunca daripada kecuaian syarikat konsesi lebuh raya seperti termaktub dalam perjanjian.

Pengguna Perlu Kemuka Bukti Semasa Kemuka Tuntutan

Walau bagaimanapun, pengguna yang terlibat perlu mengemukakan bukti bahawa kemalangan tersebut sememangnya berpunca akibat kegagalan syarikat konsesi tersebut yang tidak mengambil tindakan segera terhadap permasalahan pada infrastruktur terbabit.

“Banyak kes (syarikat) konsesi membuat bayaran akibat kecuaian mereka, seperti lopak dan sebagainya,” kata beliau.

Tambah Abdul Rahman, pengguna boleh membuat tuntutan jika kemalangan berlaku disebabkan keadaan jalan raya itu sendiri.

“Jika kemalangan akibat mengantuk dan kecuaian sendiri, kita akan siasat laporan dan tuntutan berkenaan kerana pembayaran tidak dibuat secara terus sejurus tuntutan dikemukakan.

“Justeru, pengguna boleh mendapatkan khidmat untuk membuat tuntutan jika berlaku kemalangan di lebuh raya,” kata beliau ketika menjawab soalan tambahan Datuk Rosol Wahid (PN-Hulu Terengganu) mengenai jenis tuntutan yang boleh dikemukakan kepada syarikat konsesi jika terlibat dengan kemalangan jalan raya.

Pelbagai Tindakan Telah Diambil Untuk Kurangkan Risiko Kemalangan

Menjawab kepada soalan asal, Abdul Rahman memaklumkan bahawa pelbagai langkah telah diambil bagi mengurangkan risiko kemalangan yang berpunca daripada objek atau halangan di lebuh raya termasuk serpihan tayar lori.

Tambah beliau, serpihan tayar lori lazimnya berpunca daripada penggunaan tayar celup yang tidak mematuhi piawan seperti mudah pecah dan tertanggal yang sering digunakan oleh lori yang bermuatan berat.

“Syarikat konsesi sudah diarahkan membuat rondaan lebih kerap bagi memastikan tiada objek atau halangan di lebuh raya, termasuk serpihan tayar lori bagi keselamatan pengguna.

“Rondaan rutin membabitkan pasukan ronda juga dilaksanakan mengikut pusingan ditetapkan, selain pemantauan melalui kamera litar tertutup di lokasi tertentu dan diselia pusat kawalan trafik konsesi yang beroperasi 24 jam.

“Operator di pusat kawalan trafik konsesi akan memaklumkan pasukan peronda lebuh raya untuk membuat kerja pembersihan segera sekiranya terdapat objek atau serpihan tayar menghalang trafik,” katanya lagi.

Perbincangan Berkala Bersama JPJ Mengenai Penggunaan Tayar Celup Turut Diadakan

Tambah beliau lagi, pihaknya sentiasa mengadakan perbincangan bersama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengenai isu dan penyelesaian mengenai penggunaan tayar celup yang tidak mematuhi piawaian, mudah pecah dan tertanggal.

“Syarikat konsesi juga melakukan kerja penyenggaraan dan pembersihan lebuh raya secara berkala bagi memastikan kebersihan dan selamat untuk digunakan.

“Pengguna juga digalakkan membuat aduan halangan atau kerosakan lalu lintas dengan menghubungi talian hotline lebuh raya terbabit,” ujarnya lagi.

Baca Artikel Berkaitan: Tindakan Tak Letak Kon Ketika Selenggara Lebuh Raya Buat Ramai Berang [Video]

Baca Artikel Berkaitan: SUKE Highway: PROLINTAS Kenal Pasti Lokasi ‘Panas’ & Tingkatkan Keselamatan Lebuh Raya

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.