
Graduan Palestin Di UniSZA Hadir Majlis Konvokesyen Seorang Diri Tanpa Kehadiran Keluarga Tercinta
Seorang lagi graduan UniSZA dari Palestin tidak dapat menyertai majlis konvokesyen kerana terperangkap dengan konflik Palestin dan Israel.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Hari graduasi atau konvokesyen merupakan hari yang paling bermakna buat insan yang bergelar pelajar.
Ia merupakan hari kejayaan buat mahasiswa dan mahasiswi kerana segala penat lelah dan usaha keras semasa tempoh pembelajaran membuahkan hasil.
Sudah pasti detik yang bahagia ini mahu dikongsikan bersama keluarga tersayang khususnya ibu bapa yang telah banyak berkorban bagi memastikan kejayaan anak-anak di menara gading.
Namun, tidak semua orang bernasib baik meraikannya dengan keluarga tercinta disebabkan perkara-perkara tertentu yang menghalang keberadaan mereka bersama.
Konflik Israel-Palestin Halang Ibu Bapa Rai Hari Bahagia
Begitulah yang terjadi kepada graduan Ijazah Kedoktoran Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) Hanan Kamel daripada Palestin apabila ahli keluarganya tidak dapat bersama-sama meraikan kejayaannya di Majlis Idul Ilmi Konvokesyen UniSZA kali ke-15 semalam (5 November).
Menurut Hanan, ibu bapa serta ahli keluarga yang lain tidak dapat bersama-sama di hari bahagianya ekoran konflik yang terjadi di antara Palestin dan Israel.
Walaupun sedih kerana tidak dapat meraikan kejayaan bersama keluarga tersayang, namun Hanan memanjatkan rasa syukur dan merasai ‘kehadiran’ mereka melalui mesej ucapan tahniah dan doa yang diterima di telefon.
“Kali terakhir saya berhubung dengan keluarga adalah pada semalam melalui Facebook dan Instagram. Kami tidak dapat berhubung dengan kerap kerana talian internet di sana sangat lemah. Mereka juga terpaksa mengehadkan perbualan kerana terpaksa sentiasa berwaspada dan berjaga-jaga.
“Buat masa ini, saya terpaksa menangguhkan dahulu hasrat untuk kembali berbakti di Palestin dan akan mencari kerja di Malaysia. Harapan saya semoga dapat bertemu semula dengan keluarga suatu hari nanti,” kata Hanan yang merupakan graduan dari Fakulti Sains Kesihatan.
Panjat Rasa Syukur, Keluarga Masih Selamat
Walaupun konflik yang melanda negara asalnya tidak menunjukkan tanda akan reda, Hanan meluahkan rasa syukur kerana anggota keluarganya masih lagi selamat.
Keluarga Hanan kini dikatakan menumpang di rumah jiran dan saudara-mara lain setelah kediaman mereka terkesan ekoran daripada konflik yang melanda.
Graduan Palestin gembira dalam duka terima PhD Kuala Nerus: "Walaupun sedih tanpa ahli keluarga, saya kuatkan semangat,…
Posted by Universiti Sultan Zainal Abidin – FB Rasmi on Sunday, 5 November 2023
Graduan Palestin Terperangkap, Tidak Dapat Hadirkan Diri
Dalam pada itu, hasrat seorang graduan UniSZA yang juga berasal dari Palestin Saber T R Syouri untuk meraikan hari kejayaan di Majlis Konvokesyen terpaksa dilupakan kerana terperangkap dengan konflik yang sama.
Menerusi video yang ditayangkan semasa majlis berkenaan, Syouri turut berkongsikan berita sedih kehilangan beberapa ahli keluarga termasuk anak lelaki dan perempuannya akibat daripada kemelut yang melanda.
“Terima kasih kepada Terengganu dan UniSZA. Saya minta maaf kerana tak dapat menghadiri konvokesyen kerana situasi yang amat berbahaya pada masa sekarang,” katanya.
Ucapan Khas Graduan Palestin Saber T.R. SyouriUcapan Khas Graduan Palestin: Saber T.R. Syouri Saudara Saber T.R. Syouri kini berlindung di Tebing Barat (West Bank). Beliau telah kehilangan beberapa ahli keluarga termasuk anak lelaki dan anak perempuan dalam serangan ke atas Palestin baru-baru ini. Sama-sama kita doakan keselamatan dan kesejahteraan beliau dan seluruh rakyat Palestin. Salurkan sokongan dan bantuan anda untuk Palestin di sini. Tabung Solidariti UniSZA untuk Palestin: https://infaq.unisza.edu.my/campaign/qAMrlNbW6Jayg5Kx #konvokesyenunisza15 #idulilmiunisza #konvokesyenunisza2023 #PrayForPalestine
Posted by Universiti Sultan Zainal Abidin – FB Rasmi on Sunday, 5 November 2023
Untuk info, sebanyak 3,608 graduan UniSZA diraikan dalam Majlis Idul Ilmi Konvokesyen UNISZA yang ke-15 bermula 5 hingga 8 November 2023.
Daripada jumlah tersebut, seramai 111 orang merupakan graduan doktor falsafah, 76 graduan sarjana, 2,057 graduan sarjana muda serta 1,254 graduan diploma.
Baca Artikel Berkaitan: Ramai Kagum Lihat Gadis Berjaya Konvo Walau Lalui Pelbagai Cabaran Selepas Ibu Bapa Jatuh Sakit [Video]
Baca Artikel Berkaitan: Ramai Sebak Lihat Bapa Ambil Skrol Arwah Anak Ketika Majlis Konvokesyen [Video]