
Pekerja Tempatan Terjejas Akibat Kempen Boikot Boleh Buat Aduan – Sivakumar
Walau bagaimanapun, Sivakumar menjelaskan KSM tidak menerima sebarang laporan daripada mana-mana individu yang terjejas akibat kempen boikot tersebut.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Setelah lebih sebulan berlalu, konflik di antara Palestin dan Israel masih lagi tidak menunjukkan tanda-tanda akan reda.
Malah, jumlah rakyat Palestin yang terkorban dan cedera akibat kekejaman Rejim Zionis dilihat semakin meningkat.
Sehingga kini, kebanyakan masyarakat dunia masih teguh menyatakan pendirian dan sokongan terhadap rakyat Palestin antaranya melalui kempen memboikot syarikat atau produk yang mempunyai kaitan dengan Israel.
Walaupun nampak mudah, langkah memboikot ini sememangnya memberi kesan sehingga menjejaskan pendapatan syarikat terlibat dan juga kepada pekerja.
Pekerja Tempatan Yang Terjejas Boleh Buat Aduan
Mengulas lanjut mengenai perkara ini, Menteri Sumber Manusia V Sivakumar berkata, mana-mana pekerja tempatan yang terjejas akibat kempen memboikot syarikat dan produk Israel boleh tampil membuat aduan kepada Kementerian Sumber Manusia (KSM).
“Kalau ada pekerja yang terjejas, dibuang kerja dan sebagainya mereka mempunyai hak untuk membuat aduan dan kami akan melihat perkara itu dan mengambil tindakan,” kata beliau.
Tiada Lagi Individu Yang Tampil Buat Aduan
Walau bagaimanapun, beliau menjelaskan KSM tidak menerima sebarang laporan daripada mana-mana individu yang terjejas akibat kempen tersebut.
“Di peringkat KSM, kita belum terima apa-apa aduan. Kita akan lihat perkara itu dan tindakan akan diambil,” ujar beliau ketika diminta mengulas mengenai kesan boikot yang semakin memuncak akibat peperangan Palestin dan Israel.
Terdahulu, media melaporkan kempen memboikot barangan dan syarikat daripada Israel jelas memberikan kesan kepada pekerja tempatan hingga ada yang mendakwa diberhentikan kerja susulan pendapatan syarikat yang terjejas akibat kempen tersebut.
Kempen yang dilakukan sempena sokongan terhadap rakyat Paestin dan mengutuk kekejaman Rejim Zionis itu dilihat begitu rancak dan semakin agresif apabila kebanyakan individu mempromosikan kempen tersebut melalui media sosial masing-masing.
Platform Aduan Buat Pekerja Terjejas
Untuk info, jika anda salah seorang pekerja yang terjejas atau mempunyai isu berkaitan dengan majikan, anda boleh membuat aduan melalui platform seperti berikut:
- Melalui surat ke Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia kepada alamat: Aras 5, Blok Setia Perkasa 3, Kompleks Setia Perkasa, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, 62530, Putrajaya.
- E-mel di alamat: jtksm@mohr.gov.my
- Borang aduan di laman web rasmi Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia
- Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA)
- Melalui aplikasi Working For Workers (WFW)
- Hadir ke mana-mana cawangan Pejabat Tenaga Kerja yang berhampiran.
Baca Artikel Berkaitan: Apa Hukum Kerja Di Syarikat Berkait Israel? Ini Penjelasan Mufti Pulau Pinang
Baca Artikel Berkaitan: Isu Palestin: Sejauh Mana Keberkesanan Kempen Boikot Produk Dari Jenama Yang Sokong Israel?