Usikan & Gurauan Lucah Sesama Jantina Boleh Undang Tekanan Emosi Kepada Mangsa
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat mendedahkan bahawa bilangan golongan lelaki yang tampil melaporkan jenayah gangguan seksual masih rendah.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Kes gangguan seksual kebiasaannya sinonim dengan kaum wanita. Namun kini, kaum lelaki tidak laki terkecuali dari menjadi mangsa.
Menurut Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Aiman Athirah Sabu, sebanyak 1,486 kes aduan mengenai gangguan seksual diterima oleh Pusat Sokongan Sosial Setempat (PSSS), Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) sepanjang tempoh 14 siri Program Jerayawara Kasih KPWKM@Advokasi Anti Gangguan Seksual diadakan.
Daripada jumlah tersebut, sebanyak 411 kes (27.7%) melibatkan mangsa lelaki dan jumlah ini meningkat berbanding 351 mangsa lelaki yang dilaporkan dalam 12 siri jerayawara tersebut.
Namun, bagi banyak pihak, usikan sesama jantina mungkin dianggap normal bagi segelintir individu, namun hakikatnya ia boleh menganggu emosi mangsa dan turut dikategorikan sebagai gangguan seksual.
Trauma Apabila Diraba Lelaki Tanpa Kerelaan
Seorang mangsa yang dikenali sebagai Faiz mendedahkan dia sering diperlakukan secara seksual oleh rakan sekerja lelaki apabila dia kerap diraba tanpa kerelaan hingga mengundang trauma terhadap dirinya.
Tindakan rakan sekerjanya itu dianggap mencalar maruah dirinya sebagai lelaki sejati dan dia masih menyimpan rasa marah terhadap pelaku.
“Dia sudah melebih dengan buat benda yang tidak sepatutnya. Sembang boleh tapi bukan fizikal.
“Dia kena hormat sebagai manusia. Mungkin kita melayan bukan makna kita nak buat perkara macam itu. Itu menjengkelkan. Bagi saya, dia kurang ajar. Kita boleh terima dia tapi jangan melampau,” katanya yang dipetik daripada Harian Metro.
Tambah Faiz, pelaku akan menggunakan alasan bergurau bagi mengaburi perbuatan itu agar tidak dikenakan tindakan.
Mangsa Pilih Untuk Berdiam Diri
Selain Faiz, seorang lagi mangsa gangguan seksual yang dikenali sebagai Khusyairi mendedahkan turut menjadi mangsa penyelia lelaki di tempat kerjanya.
Namun, dia memilih untuk berdiam diri kerana takut pekerjaannya akan terjejas jika membuat aduan.
“Tidak selamat kalau saya melaporkan. Nanti ia berbalik kepada saya, jadi saya melihat kepada kerisauan kedudukan sebagai pekerja dan dia sebagai penyelia.
“Saya fikir masa depan saya juga tapi demi nak menjaga masa depan itu, saya terpaksa terima itu dengan hanya berdiam tapi dalam masa yang sama rasa trauma juga,” katanya.
Orientasi Seksual & Kecenderungan Terhadap Jantina Sejenis Dorong Perilaku Sumbang
Berbeza dengan mangsa, seorang pelaku yang enggan dikenali mendedahkan bahawa perbuatan mendapatkan perhatian dari kaum lelaki melalui usikan seksual dianggap sebagai salah satu cara untuk kurangkan tekanan emosi.
Malah, perbuatan ini boleh menjadi punca berlakunya suka sama suka daripada mangsa. Dia juga turut mengakui mula melakukan perbuatan keji itu seawal usia tujuh tahun kepada lelaki bagi memuaskan nafsunya sehingga usia 17 tahun.
“Saya suka lelaki tetapi kadang-kadang rasa malu. Jadi, saya menggunakan taktik cakap yang manis-manis dengan dia. Saya suka lelaki tetapi berasa sangat puas bila kacau apatah lagi kalau ada respons daripada mereka. Mungkin sesuatu keterujaan yang saya inginkan,” katanya.
Tambahnya lagi, dia akan berasa puas sekiranya lelaki sejati yang diganggu mula bertukar menyukai jantina sejenis.
Perbuatan Gangguan Seksual Bermula Dengan Usikan & Gurauan
Dalam pada itu, menurut aktivis anti gangguan seksual Fatihah Iliani Jamhari, gangguan seksual lazimnya berpunca daripada usikan dan gurauan yang dianggap biasa dalam kehidupan seharian.
“Masyarakat kita sudah dibiasakan dengan keadaan hiperseksualiti gurau secara lucah apabila berinteraksi guna perkataan lucah dianggap biasa. Jadi kadang-kadang mungkin tiada niat untuk ganggu tetapi kelucahan itu tetap berlaku.
“Apabila masyarakat melihat dan anggap satu isyarat bahawa perkara lucah ini sesuatu yang ringan, interaksi sosial sesama dia dianggap boleh untuk terus melakukan.
“Disebabkan itu, ia boleh berlaku di mana gangguan seksual itu dianggap sebagai gurauan atau perkara kecil sehingga mereka terus melakukan walaupun tahu bentuk sumbang dalam bicara mereka itu ada,” jelasnya.
Mangsa Perlu Tampil Buat Laporan
Pada masa yang sama, Pakar Psiko Kaunseling Universiti Kebangsaan Malaysia Dr Nasrudin Subhi menegaskan mangsa perlu berani untuk tampil ke hadapan.
“Seorang lelaki itu perlu merendahkan ego dia. Sebab pertama sekali untuk dia diklasifikasikan sebagai gangguan, dia harus merasa tersinggung. Kalau misalnya satu gangguan, dia diklasifikasikan sebagai masalah yang perlu diselesaikan.
“Dalam isu menangani masalah ini, pertama kena akui anda ada masalah dan perlu buka mulut. Jadi, sebenarnya mengambil langkah pertama itu adalah selalu langkah yang sukar untuk selesaikan sesuatu isu,” katanya.
Tambah beliau, tindakan berdiam diri hanya akan memberi kesan psikologi kepada mangsa.
“Dia akan berterusan mengalami isu yang sedang dialami. Katakanlah kalau dia rasa stres, dia akan merasa tekanan itu secara berlebihan. Kalau dia rasa murung, dia akan terus rasa murung dan kalau isu pengurusan mental ini tidak ditangani dengan baik, kita takut dia akan meningkat kepada keinginan bunuh diri.
“Sebabnya, dia merasakan diri dia tak berguna, kotor. Jadi, itu yang kita risaukan,” ujarnya.
Tegasnya lagi, pelaku juga perlu diberi perhatian dan bantuan terutama dari segi kesihatan mental agar perbuatan yang sumbang dapat dibetulkan semula.
Tidak Ramai Mangsa Tampil Buat Laporan
Dalam pada itu, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri mendedahkan bahawa bilangan golongan lelaki yang tampil melaporkan jenayah tersebut masih rendah.
Walau bagaimanapun, ia semakin meningkat selepas pihaknya menjalankan advokasi.
“Kes kita 2020 ada 378 kes dan dilaporkan. Ia meningkat pada 2021 kepada 506 kes dan sedikit penurunan pada 2022 iaitu 477 kes tapi ini kes yang dilaporkan. Mungkin ada kes yang tak dilaporkan.
“Kita lihat di 13 negeri ada laporan mencatatkan 1,317 mangsa gangguan seksual dengan sekurang-kuranganya 368 orang ataupun 28% daripadanya adalah mangsa lelaki di mana sebelum itu hanya berbelas, jadi kita dapat melihat peningkatan,” kata beliau.
Untuk info, satu platform yang dikenali sebagai Tribunal Anti Gangguan Seksual di bawah Akta Anti Gangguan Seksual 2022 Akta 840 akan beroperasi sebelum Januari 2023.
Ia merupakan platform alternatif bagi menambah baik sistem perundangan dan pengendalian aduan gangguan seksual dengan cepat,mudah dan kos yang minimum.
Baca Artikel Berkaitan: Kes Lelaki Jadi Mangsa Gangguan Seksual Meningkat
Baca Artikel Berkaitan: Penjawat Awam Boleh Dikenakan Tindakan Sekiranya Panggil Rakan Sekerja “Sayang” Atau “Dear”