fbpx
Now Reading
Bayi Rentung & Suami Meninggal, Wanita Masih Trauma Kerap Terbangun Jam 4 Pagi

Bayi Rentung & Suami Meninggal, Wanita Masih Trauma Kerap Terbangun Jam 4 Pagi

Menurut Hasifah, dia mengakui awalnya berasa tertekan selain turut terbayang keletah bayi perempuannya yang berusia tujuh bulan dan tidur sering terganggu.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Pada November lalu, tular video di media sosial berhubung kemalangan membabitkan sebuah kenderaan Honda Jazz yang terbakar di Kota Bharu, Kelantan.

Difahamkan kenderaan yang dinaiki sepasang suami isteri bersama bayi perempuan mereka itu terbakar selepas kereta tersebut melanggar tiang lampu di Jalan Gua Musang-Kuala Krai pada awal pagi 27 November.

Kemalangan itu telah menyebabkan bayi perempuan yang dikenali sebagai Wan Sabeena Arisha Wan Shahrizat berusia tujuh bulan dilaporkan meninggal dunia dan dijumpai rentung.

Manakala bapa kepada bayi tersebut, Wan Shahrizat Azwan Wan Shahril dilaporkan meninggal dunia selepas lapan hari bertarung nyawa di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Perempuan Zainab II (HRPZ II) kerana mengalami cedera parah dan melecur seluruh badan.

Ibu bayi, Nur Hasifah Razni berkenaan pula hanya mengalami kecederaan ringan.

Baca artikel berkaitan: Honda Jazz Rempuh Tiang Lampu Terbakar, Bayi 7 Bulan Rentung & Bapa Melecur Seluruh Badan

Mangsa akui masih trauma dan kerap bangun jam 4 pagi, asyik teringat keletah bayi

Kehilangan dua individu tersayang itu secara tidak langsung telah membuatkan ibu berusia 25 tahun itu trauma terutama jika menaiki kenderaan dalam jangka waktu yang lama.

Bahkan apabila kenderaan yang dinaikinya terlanggar lubang, dia secara serta-merta terbayang kembali kemalangan yang dialami olehnya bersama keluarga.

Malah dia juga mengakui kerap terbangun pada jam 4 pagi.

“Sehingga kini saya masih trauma, kerap terjaga jam 4 pagi iaitu waktu tragedi mengorbankan bayi perempuan kami dalam kemalangan hujung bulan (November) lalu.

“Pada awal selepas kejadian, memang saya tertekan dan masih terbayang-bayang keletah bayi perempuan kami yang baru saja boleh meniarap ketika itu. Tidur juga sering terganggu, kerap terjaga jam 4 pagi, waktu sama kemalangan tiga minggu lalu, saya kemudian saya menangis,” jelasnya, dipetik Berita Harian.

Ujar ibu kepada bayi itu masih terngiang-ngiang suara suaminya meminta maaf berkali-kali disebabkan gagal menyelamatkan anak mereka.

Arwah suami nafi ngantuk tetapi terlanggar pembahagi jalan dan terbabas kerana jalan gelap

Malah dia turut menjelaskan ketika arwah suami dibawa menaiki ambulans, dia menafikan berasa ngantuk tetapi keadaan jalan raya yang gelap serta tidak mempunyai papan tanda telah membuatkan kereta dinaiki mereka terlanggar pembahagi jalan dan kemudian terbabas.

“Ketika menerima rawatan di HRPZ II, suami terus ditidurkan. Saya tak berhenti berdoa supaya ada keajaiban meskipun tiada perkembangan positif. Sehari demi sehari, keadaan suami makin kritikal dan akhirnya pagi 5 Disember lalu, dia menghembuskan nafas terakhir dan saya reda.

“Sebulan sebelum kejadian, suami ada bertanya bagaimana jika suatu hari nanti dia sudah tiada dan tidak sempat membesarkan anak kami. Saya memarahinya dan rupanya kata-kata itu menjadi kenyataan, saya bukan sahaja kehilangannya, tapi satu-satunya tanda cinta kami iaitu bayi perempuan kami,” ujarnya lagi sewaktu ditemui di kediamannya di Kampung Tapang.

Terima wang pencen penakat sebanyak RM546.98

Nur Hasifah walau bagaimanapun sebelum ini telah menerima pencen penakat yang diserahkan oleh Pengarah Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) Kelantan, Nora Yaacob sebanyak RM546.98 sebulan sepanjang hidup.

Wang pencen tersebut diterima oleh isteri arwah kerana suaminya ketika hidup bekerja di sebuah kedai perkakas plastik yang mencarum PERKESO dan memenuhi syarat bagi kelayakan caruman.

“Balu ini juga sudah menerima bayaran Faedah Pengurusan Mayat (FPM) berjumlah RM2,000 yang sudah pun dikreditkan ke akaunnya,” ujar Nora.

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.