Bayi Lelaki 7 Bulan Maut Selepas SUV Dinaiki Jatuh Dalam Takungan Air Di LPT 2
Menurut Superintendan Maizura Abdul Kadir, kereta yang dipandu oleh Mohammad Taufik Babge terbabas selepas melanggar lopak air dan terjatuh ke kawasan tebing yang dipenuhi air akibat hujan lebat di tepi LPT 2.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Pada ketika ini, beberapa negeri di Malaysia rata-ratanya mengalami musim hujan dan ribut petir melibatkan beberapa kawasan.
Selain banjir, cuaca sebegini sudah semestinya memberi kesukaran terutama buat pemandu-pemandu kerana keadaan penglihatan yang terhad serta boleh menyebabkan berlakunya perkara tidak diingini seperti kemalangan jalan raya.
Walaupun kebanyakan daripada kita telah berhati-hati, namun keadaan sebegini tidak dinafikan boleh menjadi antara punca kepada insiden tersebut.
Bayi Berusia 7 Bulan Maut, SUV Terjatuh Dalam Takungan Air
Terbaharu, seorang bayi lelaki berusia tujuh bulan maut selepas kenderaan utiliti sukan (SUV) yang dinaikinya terjatuh ke dalam takungan air akibat hujan lebat di Kilometer 372, Lebuh Raya Pantai Timur Dua (LPT2), dekat Bukit Besi, semalam (25 Disember).
Bayi yang dikenali sebagai Mohammad Adam Rayyan Abdul Rahim disahkan meninggal dunia pada jam 12.25 tengahari, hari ini (26 Disember) selepas menerima rawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu.
Kereta Terlanggar Lopak Air Sebelum Terjatuh Ke Takungan Air
Menurut Ketua Polis Daerah Dungun Superintendan Maizura Abdul Kadir, kereta yang dipandu oleh Mohammad Taufik Babge terbabas selepas melanggar lopak air dan terjatuh ke kawasan tebing yang dipenuhi air akibat hujan lebat di tepi lebuh raya berkenaan.
Ketika kejadian, Taufik yang merupakan seorang juruteknik di Pengkalan Balak Masjid Tanah, Melaka sedang dalam perjalanan dari Ajil, Terengganu menuju ke Kuantan.
“Kesemua mereka yang menaiki kenderaan itu dipercayai dalam perjalanan dari Kota Baharu untuk pulang ke Pengerang Johor.
“Sebaik tiba di lokasi kejadian, kenderaan terbabit dipercayai melanggar lopak air yang menyebabkan hilang kawalan lalu terbabas dan melanggar besi penghadang lebuh raya,” katanya.
Kesemua Mangsa Cedera Dibawa Ke Hospital Bagi Menerima Rawatan
Selain Taufik dan Adam, antara individu yang turut terlibat dalam kemalangan tersebut adalah isteri Taufik, Hamizah Mustapha, anak saudara mereka yang dikenali sebagai Nik Muhammad Ariff Al-Iman Nik Mohd Azmi dan seorang kanak-kanak Faresh Rayyan Abdul Rahim.
“Kesemua mangsa yang berada di dalam kenderaan itu bagaimanapun berjaya diselamatkan oleh pengguna lebuh raya yang melalui kawasan itu.
“Mohammad Taufik cedera di kedua-dua belah kaki, Hamizah cedera ringan di bahagian kaki dan dada manakala Nik Muhammad Ariff Al-Iman dan Faresh Rayyan cedera di bahagian dada,” katanya.
Kesemua mangsa dibawa ke Hospital Hulu Terengganu bagi menerima rawatan lanjut.
“Mohammad Adam Rayyan kemudiannya dihantar ke HSNZ dan disahkan meninggal ketika diberi rawatan hari ini.
“Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
Terdahulu, tular video orang ramai membantu menyelamatkan mangsa di media sosial. Melalui video tersebut, beberapa orang dilihat membantu menyelamatkan mangsa kemalangan dengan berenang ke dalam takungan air itu.
Malah, turut kelihatan beberapa orang dilihat cuba menyelamatkan nyawa bayi yang berusia tujuh bulan itu selepas dia dibawa keluar daripada takungan air tersebut.
Baca Artikel Berkaitan: Honda Jazz Rempuh Tiang Lampu Terbakar, Bayi 7 Bulan Rentung & Bapa Melecur Seluruh Badan
Baca Artikel Berkaitan: Tular Video Lori Lebih Muatan Jadi Punca Kematian Bayi, Permit Syarikat Digantung Setahun [Video]