fbpx
Now Reading
Lelaki Maut Kepala Tersepit Ketika Sedang Baiki Lif

Lelaki Maut Kepala Tersepit Ketika Sedang Baiki Lif

Menurut pihak bomba ketika berada di tempat kejadian, kepala seorang pekerja telah tersepit pada pintu dan seorang lagi berada di dalam lif berkenaan.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Kejadian kemalangan membabitkan lif sering kali dilaporkan dan ia merupakan sesuatu yang sukar untuk dijangka.

Kadang kala situasi seperti itu membuatkan mangsa berasa cemas dan tidak tahu apa yang perlu mereka lakukan.

Malah ada juga segelintir daripada kemalangan yang berlaku turut membuatkan pengguna trauma apabila ia turut meragut nyawa individu lain.

Lelaki maut kepala tersepit ketika sedang selenggara lif

Terbaharu, seorang lelaki yang juga merupakan pekerja penyelenggaraan dilaporkan maut apabila kepalanya telah tersepit di bahagian pintu lif di sebuah pusat membeli belah di Jalan Burmah, Pulau Pinang.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Bagan Jermal, Pegawai Bomba Kanan II Ahmad Rezki Faris Ismail memaklumkan kejadian yang berlaku pada 27 Disember itu telah menyebabkan mangsa, R Tinesh Kumar maut di tempat kejadian kerana kecederaan parah di bahagian kepala.

Mangsa yang berusia 28 tahun itu sewaktu kejadian berlaku difahamkan bersama seorang lagi pekerja penyelanggaraan yang juga membaiki lift di pusat beli belah terbabit.

“Kita terima panggilan kecemasan pada jam 4.45 petang lalu bergegas ke lokasi kejadian. Apabila tiba di situ, ada dua mangsa yang terperangkap di dalam lif.

“Kepala seorang pekerja telah tersepit pada pintu lif manakala seorang lagi berada di dalamnya.

“Pasukan bomba telah berjaya membuka pintu lif dan mengeluarkan dua orang mangsa tersebut,” ujarnya, lapor Sinar Harian.

Pihak KKM sahkan sudah meninggal dunia

Jelas beliau lagi, mangsa yang tersepit di kepala itu walau bagaimanapun telah dilaporkan meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Mayatnya kemudian diserahkan kepada polis dan dibawa ke hospital untuk tindakan lanjut.

“Sementara mangsa yang selamat berusia 53 tahun turut dibawa ke hospital untuk pemeriksaan lanjut,” katanya yang turut memaklumkan operasi itu kemudian taman pada jam 5.56 petang.

Dalam pada itu, pihak bomba dalam Facebook rasmi turut menasihatkan individu yang berdepan dengan sebarang kemalangan untuk bertenang dan buat laporan kecemasan kepada pihaknya atau menghubungi terus di talian 999.

Tips jika terperangkap dalam lif

Sekiranya anda terperangkap di dalam lif terdapat beberapa perkara yang perlu dilakukan untuk menyelamatkan diri, antaranya:

  • Cuba untuk tenangkan diri dan tidak panik, jangan sesekali cuba untuk membuka pintu bagi melepaskan diri. Bimbang perkara itu boleh menyebabkan anda tersepit atau berlaku kecederaan tak diingini.
  • Tekan butang loceng atau interkom yang ada pada lif, bunyi dihasilkan daripada loceng tersebut boleh menarik perhatian manakala interkom akan membolehkan anda berhubung dengan bilik kawalan.
  • Hubungi hotline yang diletakkan pada lif untuk berkomunikasi dengan bilik kawalan, namun sekiranya tiada sebarang respon segera hubungi pihak bomba.
  • Tunggu sehingga bantuan tiba.
  • Anda juga boleh memaklumkan secara terperinci berapa orang yang berada dalam lif terbabit serta maklumat kesihatan sekiranya perlu.
  • Jangan sesekali cuba melompat atau merosakkan peralatan lif.
  • Jangan memanjat keluar melalui siling lif.
View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.