fbpx
20 tahun lelaki pakai kad pengenalan orang lain

Lelaki Dihukum Penjara, Rupanya Guna MyKad Palsu Untuk Jadi Guru Sejak 29 Tahun Lalu

Lelaki tersebut ditahan kerana disyaki memiliki kad pengenalan palsu ketika satu pemeriksaan dokumen dijalankan pada 29 Januari lalu.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Kad Pengenalan merupakan dokumen pengenalan diri rasmi yang diberikan kepada semua warganegara Malaysia.

Hari ini (22 Februari), Mahkamah Majistret Keningau menjatuhkan hukuman penjara 10 bulan dan denda RM6,000 ke atas seorang lelaki atas kesalahan menggunakan kad pengenalan palsu.

Tertuduh, Ridal Abdul Kadir, telah menggunakan kad pengenalan itu untuk bekerja selama 29 tahun sebagai seorang guru di sebuah sekolah di Tenom, Sabah.

Tertuduh yang mengaku bersalah dijatuhi hukuman oleh Majistret Nur Asyraf Zolhani dan diarahkan menjalani hukuman dari tarikh tangkap, yakni 29 Januari lalu.

Ridal juga diberitahu bahawa kegagalan membayar denda RM6,000 yang ditetapkan akan menyebabkan dia dikenakan enam bulan penjara tambahan. Dia bagaimanapun membayar denda tersebut.

Kantoi Ketika Pemeriksaan Dokumen

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 25 (1) (e) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 yang membawa hukuman penjara maksimum tiga tahun, denda tidak melebihi RM20,000 atau kedua-duanya

Berdasarkan kepada fakta kes, satu pemeriksaan dokumen telah dijalankan di kawasan parkir kuarters guru sekolah tersebut pada jam 11.30 pagi, 29 Januari lalu.

Tertuduh kemudiannya ditahan kerana disyaki memiliki kad pengenalan palsu bernombor 700711-12-5369 dengan nama Ridal Bin Abdul Kadir.

Melalui semakan oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), tertuduh disyaki menggunakan kad pengenalan biru warganegara palsu untuk bekerja sebagai guru di sekolah berkenaan, lapor Berita Harian.

Nombor & Nama Sama Sebagai Pemastautin Sementara

Semakan rekod menunjukkan bahawa dokumen pengenalan diri taraf Pemastautin Sementara pernah dikeluarkan oleh pihak JPN dengan nombor dan nama yang sama.

Tertuduh juga didapati memiliki Dokumen Pengenalan Sementara dengan nombor dan nama sama. Selain itu, Ridal turut memiliki Daftar Kelahiran bertaraf bukan warganegara.

Terdahulu, Pegawai Pendakwa JPN, Mohd Naser Mohd Nadzeri memohon agar tertuduh dikenakan hukuman dalam bentuk pencegahan.

Tertuduh Tidak Pernah Lakukan Kesalahan Jenayah

Naser berkata hukuman tersebut dipohon setelah mengambil kira kepentingan awam dan keadilan sosial. Tambahnya lagi, memiliki dokumen pengenalan diri palsu adalah tindakan yang salah dan tidak bertanggungjawab.

Sehubungan dengan itu, peguam yang mewakili Ridal, Korventt Wheezar, meminta agar hukuman ke atas tertuduh diringankan. Ini adalah kerana tertuduh tidak pernah melakukan sebarang kesalahan jenayah dan sentiasa berkelakuan baik sepanjang 29 tahun mengajar di sekolah berkenaan.

Di samping itu, tertuduh juga telah mengaku salah dalam kes berkenaan.

Baca Artikel Berkaitan: JIM Tumpaskan Sindiket Tolong PATI Tiada Kad Pengenalan & Visa

Boleh Kena Tahan Kalau Tak Bawa Kad Pengenalan

Sebagai maklumat tambahan, kad pengenalan wajib dibawa bersama oleh setiap rakyat Malaysia pada setiap masa.

Menurut bekas Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani, individu yang gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri boleh ditahan oleh pihak polis.

“Kegagalan mana-mana individu mengemukakan dokumen pengenalan diri ketika diperiksa oleh pihak polis adalah satu kesalahan mengikut Peraturan 25(1)(n) PPPN 1990,” ujar Acryl Sani.

Individu yang didapati bersalah boleh dijatuhkan hukuman penjara tidak lebih tiga tahun, denda tidak lebih RM20,000 atau kedua-duanya.

Baca Artikel Berkaitan: Budak Lelaki Didenda RM8,000, Gara-Gara Tak Bawa Kad Pengenalan

Baca Artikel Berkaitan: Boleh Ke Pengawal Keselamatan Simpan IC Kita? Dengar Penjelasan Peguam Ini [Video]

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.