Bukan Sunnah Rasulullah SAW, Mufti Perak Seru Berhenti Boikot KK Mart
Mufti Perak Wan Zahidi berkata, Rasulullah SAW tidak mengamalkan aktiviti memboikot walaupun dengan musuh agama Islam sendiri.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Pada bulan Mac lalu, kecoh tentang isu stoking dijual di cawangan kedai serbaneka, KK Supermart di Bandar Sunway kerana didapati mempunyai kalimah Allah.
Ia bukan sahaja menimbulkan kemarahan umat Islam di negara ini, malah Yang di-Pertuan Agong (YDPA) Sultan Ibrahim murka serta menzahirkan perasaan dukacita berhubung isu tersebut.
Sejak kes itu berlaku, ramai di kalangan warga Malaysia bertindak untuk memboikot kedai serbaneka berkenaan sehingga kini.
Baca Artikel Berkaitan: Agong Murka Dengan Isu Stoking Tertera Kalimah Allah
Mufti Perak Gesa Henti Boikot KK Mart
Hari ini (3 Mei) Mufti Perak, Datuk Seri Wan Zahidi Wan Teh menggesa orang ramai terutamanya umat Islam untuk menghentikan aktiviti memboikot KK Mart. Hal ini kerana, perbuatan tersebut dikatakan sudah bertentangan dengan sunnah Rasulullah SAW.
Menurut Wan Zahidi, aspek keadilan mempunyai kedudukan yang suci dalam Islam di mana ia wajib ditegakkan tidak kira kaum.
Mengikut kaedah kehakiman Islam, satu daripada rukun penting dalam perlakuan jenayah adalah niat dan keinginan melakukannya atau dipanggil sebagai alqasdul jinael.
Namun begitu, alqasdul jinael tidak boleh dibuktikan melalui pembuktian langsung sebaliknya dengan pengakuan atau kaedah pembuktian qarainul ahwal iaitu bukti keadaan.
“Daripada penjelasan oleh pihak pengurusan KK Mart dan permohonan maaf secara terbuka terhadap insiden berlaku serta penjelasan yang dibuat kepada JAKIM (Jabatan Kemajuan Islam Malaysia), ternyata kewujudan rukun alqasdul jinaein ini tidak dapat dibuktikan. Dengan demikian, berasaskan kaedah kehakiman Islam, tuduhan menghina agama Islam terhadap pengurusan KK Mart tidak terbukti.
“Saya berkeyakinan kenyataan ini adalah amanah yang wajib disampaikan sebagaimana yang diperintahkan dalam surah An-Nisaa ayat 58. Apabila isu ini disensasikan dengan menyemarakkan sentimen kebencian dan kemarahan, maka cara menanganinya telah tersasar jauh daripada landasan keadilan Islam sejagat,” kata beliau.
Rasulullah Tidak Boikot Walaupun Dengan Musuh
Berbicara lebih lanjut mengenainya, Mufti tersebut menegaskan bahawa kegiatan boikot jenama kaum lain adalah bertentangan dengan ajaran Rasullullah SAW.
Wan Zahidi turut berkongsi kisah apabila Baginda meminta Ketua Qabilah Yamamah Thumamah bin Uthal supaya menghentikan sekatan bahan makanan kepada kaum Quraisy (musuh agama Islam).
Kisah tersebut menunjukkan akhlak terpuji Rasulullah SAW yang tidak membenarkan bahan makanan yang mana hak asasi paling utama dalam kehidupan manusia digunakan sebagai senjata dalam pertikaian bersama musuh.
Baca Artikel Berkaitan: Isu Stoking Kalimah Allah: Zahid Hamidi Minta Pasar Raya Jadikan Iktibar
Boikot Bertentangan Dengan Piagam Madinah
Dalam pada itu, kelakuan memboikot jenama pihak lain ini juga adalah bertentangan dengan tindakan Baginda membentuk Piagam Madinah bagi membaik pulih hubungan antara pelbagai etnik dalam negara Islam pertama iaitu Madinah.
Tujuan asal Piagam Madinah adalah untuk memberikan keadilan terhadap hak dan tanggungjawab antara masyarakat Muslim dan bukan Muslim.
“Piagam ini menyatakan bahawa warga bukan Muslim membentuk satu ummah bersama umat Islam. Diri dan harta benda mereka dilindungi sama seperti harta benda warga Muslim.
“Dalam sebuah hadis Rasulullah SAW menyatakan bahawa sebarang penganiayaan terhadap warga bukan Muslim akan berhadapan dengan pendakwaan oleh Baginda sendiri di akhirat kelak, malah menganggap tindakan sedemikian seperti ditujukan kepada Baginda sendiri,” katanya.
Jangan Bangkit Isu Yang Boleh Bawa Kepada Perbalahan
Dalam sidang media tersebut, Wan Zahidi turut berkata bahawa Rasulullah SAW memperingatkan para pendakwah supaya tidak berhenti menyebarkan perkara-perkara yang mencerminkan harapan dan tidak mengetengahkan isu yang boleh mendorong perbalahan.
Tambah Mufti itu lagi, dakwah Islam memerlukan suasana tenang dan damai serta hubungan yang harmoni antara kaum-kaum pelbagai agama.
Ini berasaskan petikan ayat al-Quran surah An Nahl, ayat 125, di mana umat Islam perlu menggunakan pendekatan berhikmah dan tutur kata yang baik dalam perjalanan dakwah mereka.
Ujar Wan Zahidi, kenyataan yang dikeluarkan olehnya adalah penting bagi mencegah tindakan ekstrem orang awam seperti membakar atau merosakkan premis KK Mart.
Terdahulu, pengurusan KK Super Mart dilaporkan telah memohon maaf berhubung penjualan stoking berjenama Miranosock yang tertera kalimah Allah di beberapa cawangan kedai serbaneka itu.
Sebelum ini, Pengasas Kumpulan KK Mart Datuk Seri Dr KK Chai dan isterinya, Datin Seri Loh Siew Mui mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen.
Setiap daripada mereka berdepan satu pertuduhan iaitu melukakan perasaan agama orang Islam dengan mempamerkan stoking bercetak kalimah Allah.
Baca Artikel Berkaitan: KK Supermart Saman Syarikat Pengedar Stoking Kalimah Allah, Didakwa Langgar Kontrak & Sabotaj