Remaja Tular Bakar Anak Kucing Hidup-hidup Sudah Ditahan Polis
Sebelum ini, rakaman CCTV kejadian di Flat Kenari, Kajang itu tular di media sosial hingga membangkitkan kemarahan ramai kerana ia disifatkan sebagai perbuatan zalim dan tidak berperikemanusiaan.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami!
Follow Kami
Seorang remaja lelaki yang dipercayai membakar seekor anak kucing hidup-hidup di Flat Seri Kenari, Kajang pada 22 April lalu sudah ditahan polis.
Difahamkan, remaja berusia 13 tahun itu ditahan pada Selasa lalu (30 April) berhampiran lokasi kejadian bakar kucing itu berlaku iaitu di parkir motosikal flat berkenaan.
KPD Kajang sahkan penahanan itu, remaja terbabit didakwa di Mahkamah Juvana
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan turut mengesahkan tentang penahan remaja terbabit.
“Suspek akan didakwa di Mahkamah Juvana Kajang, pagi esok (hari ini, 3 Mei),” katanya dipetik Harian Metro.
Tular rakaman CCTV remaja bakar anak kucing hidup-hidup
Terdahulu, tular di media sosial satu rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang memaparkan seorang remaja lelaki membakar seekor anak kucing hidup-hidup di bawah sebuah motosikal.
Menerusi rakaman terbabit, kelihatan dua lagi kawannya yang turut berada di tempat kejadian hanya menyaksikan perkara itu berlaku.
Ramai marah dan ingin si pelaku terima hukuman berat
Video tersebut yang kemudiannya sohor di media sosial, telah membangkitkan kemarahan orang ramai kerana perbuatan itu disifatkan sebagai zalim dan tidak berperikemanusiaan.
Mereka turut meminta agar pihak berkuasa mengenakan hukuman berat terhadap si pelaku sebagai pengajaran dan menjadi ikhtibar kepada orang lain.