Hujan Lebat Punca Kejadian Kepala Air Di Lata Iskandar – Bomba
Menurut Sabarodzi, tiada mangsa yang terlibat dan tidak menyebabkan berlakunya banjir atau pemindahan penduduk setempat.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Semalam (13 Mei), tular di media sosial video kejadian kepala air yang berlaku di air terjun Lata Iskandar.
Insiden berkenaan dirakamkan oleh seorang pengguna TikTok ketika dia sedang dalam perjalanan menuju ke tempat kerjanya kira-kira jam 7.40 pagi di laluan Tapah-Cameron Highland.
Kejadian itu nyata menarik perhatian dan mengundang kegusaran orang ramai khususnya buat mereka yang bakal menggunakan laluan yang sama untuk pergi bercuti ke Cameron Highland.
Baca Artikel Berkaitan:Kejadian Kepala Air Di Lata Iskandar Cetus Kerisauan Ramai [Video]
Hujan Lebat Jadi Punca Kejadian Kepala Air
Terbaharu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak Sabarodzi Nor Ahmad menjelaskan kejadian tersebut berpunca daripada hujan lebat yang melanda kawasan itu sejak Ahad (12 Mei) malam.
Menurut Sabarodzi, pihak Bomba telah melakukan pemantauan sebaik sahaja menerima maklumat kira-kira jam 9.00 pagi.
“Anggota bomba telah ke lokasi bagi tujuan pemantauan.
“Tiada mangsa yang terlibat dan kejadian ini juga tidak mengakibatkan berlakunya banjir atau pemindahan penduduk,” katanya yang dipetik dari Sinar Harian.
Mohon Orang Ramai Berhati-Hati
Pada masa yang sama, Sabarodzi turut menasihatkan orang ramai agar peka dan berhati-hati sewaktu melakukan aktiviti rekreasi dan mandi di kawasan berkenaan.
Tambahnya lagi, orang ramai boleh mengesan tanda-tanda awal fenomena ini dengan cara seperti melihat perubahan langit gelap di kawasan puncak bukit, bunyi dentuman seperti gerakan batu serta air bertukar warna dan berbuih secara tiba-tiba.
“Apabila tanda-tanda ini dikesan, orang ramai perlu memastikan diri dan keluarga meninggalkan kawasan tersebut dengan serta merta,” jelasnya.
Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Tapah Superintendan Mohd Naim Asnawi memaklumkan pihaknya tidak menerima sebarang laporan berhubung kejadian tersebut.
Terdahulu, selain Air Terjun Lata Iskandar, beberapa kawasan rekreasi di Perak turut dilaporkan mengalami fenomena yang sama.
Antara kawasan yang terlibat adalah Air Terjun Lata Kinjang, Tapah dan Kampung Sahom Kampar, Perak.
Kepala air di Lata Kinjang, habis gerai
Posted by Tapah Media Official on Monday 13 May 2024
Baca Artikel Berkaitan: Kejadian Kepala Air Di Lata Iskandar Cetus Kerisauan Ramai [Video]
Baca Artikel Berkaitan: Elak Anda & Keluarga Jadi Mangsa, Ini 5 Tips Untuk Kesan Kehadiran Kepala Air Ketika Berada Di Sungai