Polis Buka Kertas Siasatan, Buru Geng Kereta Masak Dekat Stesen Minyak
Ekoran daripada video memasak mi segera di stesen minyak tersebut polis membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 268 Kanun keseksaan.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Sebelum ini, tular video di media sosial memaparkan sekumpulan individu dipercai geng kereta dilihat memasak mi segera di sebuah stesen minyak di Genting Highlands.
Apa yang lebih menjadi perhatian, kumpulan terbabit turut dilihat memasak menggunakan dua dapur gas mudah alih berdekatan stesen berkenaan.
Tindakan kumpulan berkenaan telah mencetuskan kemarahan pengguna media sosial kerana dikhuatiri boleh menyebabkan stesen tersebut terbakar.
Baca artikel berkaitan: Ramai Kecam Tindakan Sekumpulan Individu Selamba Masak Mi Atas Dapur Di Stesen Minyak Genting Highlands [Video]
Polis buka kertas siasatan selepas terima laporan
Terbaharu, polis bertindak membuka kertas siasatan selepas tular video memasak tersebut di media sosial.
Kata Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd Kahar pihaknya telah menerima laporan berkaitan kes pada 12.35 tengah hari di Balai Polis Bentong, Pahang.
Jelasnya, laporan diterima itu adalah berdasarkan rakaman yang tular sehingga mendatangkan kebimbangan kepada orang ramai disebabkan ia bahaya.
“Hasil siasatan pihak polis mendapati, rakaman video terbabit tular melalui satu laman sosial X (Twitter) dan telah dimuat naik pada 13 Mei lalu.
“Klip video berdurasi lebih kurang 50 saat itu memaparkan sekumpulan pemilik kenderaan melakukan aktiviti memasak di kawasan stesen minyak berkenaan,” ujarnya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 268 Kanun Keseksaan
Susulan itu, polis membuka kertas siasatan dan kes disiasat di bawah Seksyen 268 Kanun Keseksaan kerana kesalahan yang menyebabkan kegusaran am kepada orang ramai.
“Siasatan turut dijalankan mengikut Seksyen 336 Kanun Keseksaan iaitu perbuatan yang membahayakan nyawa atau keselamatan diri orang lain.
“Kita mohon kerjasama mana-mana pihak yang melihat kejadian tersebut untuk tampil bagi membantu siasatan.”
Sementara itu, beliau turut memberitahu tindakan tegas akan diambil dan polis akan menjalankan operasi bersepadu di sekitar kawasan stesen minya tersebut terutama pada waktu hujung minggu serta cuti umum.
Kawasan tersebut difahamkan selalu menjadi tumpuan orang ramai berkumpul serta melakukan aktiviti sehingga mengganggu ketenteraman individu lain.
“Ini kerana polis mendapat maklumat dan aduan lokasi berkenaan sering menjadi tumpuan pemilik-pemilik kenderaan berkumpul dan melakukan aktiviti yang mengganggu ketenteraman awam dan pengguna jalan raya lain yang melalui lokasi berkenaan,” katanya lagi.