
15 Orang Ditahan Kes Masak Mi Segera Di Stesen Minyak, Polis Sahkan Tiada Anak VIP
Menurut Ketua Polis Daerah Bentong, Zaiham empat individu dari 15 yang ditahan akan dituduh di Mahkamah Bentong pada jam 9 pagi esok (20 Mei).
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Sejak minggu lalu, tular satu video di media sosial memaparkan tindakan berbahaya sekumpulan geng kereta yang memasak mi segera di sebuah stesen minyak di Genting Highlands.
Malah apa yang lebih mengundang perhatian, kumpulan ini turut membawa dapur gas mudah alih (portable stove) untuk memasak di stesen berkenaan.
Ekoran itu, pihak polis kemudiannya membuka kertas siasatan dan memburu kumpulan tersebut untuk siasatan lanjut.
Baca artikel berkaitan: Polis Buka Kertas Siasatan, Buru Geng Kereta Masak Dekat Stesen Minyak
Polis tahan 15 individu dipercayai terlibat kes masak mi segera
Terbaharu, polis memaklumkan seramai 15 individu dipercayai terlibat dalam kes tersebut telah ditahan.
Jelas Ketua Polis Pahang, Datuk Yahaya Othman tangkapan tersebut dilakukan pihaknya selepas 10 lelaki serta lima wanita berkenaan tampil ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bentong.
Namun mereka kemudiannya dibebaskan dengan jaminan dari pihak polis selepas keterangan dirakam.
“Kertas siasatan sedang dilengkapkan dan empat saksi ketika kejadian juga sudah dirakam percakapan mereka bagi membantu siasatan.
“Kita juga akan merujuk kertas siasatan ke Timbalan Pendakwa Raya (TPR) untuk arahan selanjutnya,” ujarnya, lapor Harian Metro.
4 individu akan dituduh di Mahkamah Bentong esok (20 Mei)
Sementara itu, empat dari 15 yang ditahan akan dituduh di mahkamah Bentong pada 9 pagi, esok (20 Mei).
Kata Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd Kahar empat individu berkenaan akan dituduh mengikut Seksyen 336 Kanun Keseksaan. Manakala 11 lagi akan dipanggil menjadi saksi.
Memetik laporan Berita Harian, beliau juga mengesahkan kesemua 15 individu yang ditahan sebelum ini tidak mempunyai kaitan dengan anak orang kenamaan mahupun VIP.
Zaiham berkata demikian selepas terdapat dakwaan mengatakan dua dari 15 yang ditahan adalah anak kepada Timbalan Menteri.
“Mereka akan dituduh mengikut Seksyen 336 Kanun Keseksaan (perbuatan yang membahayakan nyawa atau keselamatan diri orang lain).
“Selebih 11 lagi individu dibebaskan dan dijadikan saksi dalam kes ini.
“Kesemua 15 yang ditahan bukan anak Timbalan Menteri atau VIP.”