“Kubur Suspek Serang Balai Polis Ulu Tiram Perlu Dijauhkan Dari Yang Lain” – Jawatankuasa Fatwa Johor
Keputusan menjarakkan kubur suspek adalah bagi memberi peringatan kepada masyarakat supaya tidak terlibat dengan aktiviti yang dilakukan oleh suspek.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Jawatankuasa Fatwa Negeri Johor telah mengeluarkan kenyataan berhubung cara pengurusan jenazah melibatkan suspek yang melakukan serangan di Balai Polis Ulu Tiram pada Jumaat lalu (17 Mei).
Menerusi Mesyuarat Khas Jawatankuasa Fatwa yang dipengerusikan oleh Mufti Johor, Datuk Yahya Ahmad, mereka telah membuat keputusan bahawa kubur suspek akan dijarakkan daripada liang lahad jenazah lain.
Keputusan ini dibuat bagi memberi peringatan kepada masyarakat untuk tidak melakukan atau terbabit dengan mana-mana aktiviti yang dilakukan oleh suspek.
Fatwa ke atas jenazah suspek ini sebagai tanda menzahirkan kebencian terhadap apa yang telah dilakukan suspek apatah lagi membunuh anggota yang menjaga keselamatan negara yang tidak melakukan salah dan silap terhadap suspek. Jawatankuasa Fatwa Negeri Johor mengingatkan orang ramai supaya tidak terbabit dan simpati ke atas suspek di atas apa yang telah dilakukannya.
Jawatankuasa Fatwa Negeri Johor.
Jenazah Tidak Boleh Dibawa Ke Masjid Atau Surau
Memetik laporan Sinar Harian, jenazah suspek juga tidak dibenarkan untuk dibawa ke mana-mana masjid atau surau.
Oleh itu, jenazah hanya akan dimandi, dikafan serta disolatkan di rumah keluarga suspek sahaja.
Upacara pengebumian suspek dikawal ketat oleh anggota polis sehingga menyekat kemasukan pihak media di kawasan perkuburan serta pintu utama Pusara Islam Sungai Tiram, Ulu Tiram.
Jenazah suspek telah dikebumikan pada jam 12:15 hari ini (20 Mei).
Insiden Serangan Balai Polis Ulu Tiram
Terdahulu, Balai Polis Ulu Tiram di Johor telah diserang oleh suspek yang bersenjatakan parang, berpakaian gelap dan bertopeng sekitar jam 2:54 pagi pada 17 Mei 2024.
Insiden berkenaan telah mengakibatkan kematian dua orang anggota polis iaitu Konstabel Ahmad Azza Fahmi Azhar, 22, dan Konstabel Muhamad Syafiq Ahmad Said, 24.
Seorang lagi anggota iaitu Koperal Mohd Hasif Roslan yang dilaporkan parah kini telah stabil dan sedang dirawat di Hospital Sultan Ismail (HSI).
Suspek juga dilaporkan maut di lokasi kejadian selepas ditembak oleh anggota di balai berkenaan.
Suspek bertindak mencederakan dua anggota polis yang sedang bertugas, sebelum merampas dua laras senjata dan melepaskan dua das tembakan.
Tembakan itu mengenai salah seorang anggota polis menyebabkannya cedera di bahu serta perut.
Baca Artikel Berkaitan: Balai Polis Ulu Tiram Diserang, 2 Anggota Maut & Seorang Cedera
Baca Artikel Berkaitan: KPN Sahkan Suspek Kes Serangan Balai Polis Ulu Tiram Anggota JI, 7 Individu Ditahan