Lelaki Mabuk Ditahan Selepas Serang & Cuba Rampas Submesingan Anggota Polis Di Balai
Pergelutan yang berlaku semasa suspek ingin ditahan menyebabkan lelaki itu mengalami kecederaan di bahagian muka dan tangan, kini sedang dirawat di Hospital Pulau Pinang (HPP).
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Semalam (19 Mei), seorang lelaki ditahan selepas menyerang dan cuba merampas senjata daripada anggota polis di Balai Polis Dato Keramat, Georgetown.
Dalam kejadian yang berlaku pada jam 4 pagi itu, suspek yang berusia 35 tahun dikatakan cuba merampas submesingan jenis HK MP5 daripada seorang anggota polis yang sedang bertugas di pintu pagar balai berkenaan.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Hamzah Ahmad berkata, ketika kejadian, suspek yang menunggang motosikal telah meminta anggota terbabit membuka laluan masuk ke dalam perkarangan balai berkenaan.
Suspek beri kata-kata kesat kepada anggota polis sebelum menceroboh masuk
Ketika anggota terbabit meminta suspek menyatakan tujuan ke balai, lelaki itu secara tiba-tiba mengeluarkan kata-kata kesat selain bertindak menceroboh masuk.
Sebaik memasuki pekarangan balai, suspek turut cuba merampas submesingan itu yang sedang disandang anggota terbabit namun tidak berjaya.
Susulan itu, anggota terbabit cuba menenangkan suspek termasuk memberi amaran supaya dia tidak mengulangi tindakannya.
Suspek buka topi keledar dan cuba menyerang anggota polis
Namun suspek secara tiba-tiba membuka topi keledar yang dipakainya dan menyerang anggota tersebut. Tindakan lelaki itu bagaimanapun gagal selepas berjaya ditahan anggota itu bersama rakan setugasnya.
Pergelutan yang berlaku semasa suspek ingin ditahan menyebabkan lelaki itu mengalami kecederaan di bahagian muka dan tangan, kini sedang dirawat di Hospital Pulau Pinang (HPP).
Suspek negatif dadah, kini direman empat hari
Difahamkan, suspek berada dalam keadaan mabuk ketika kejadian tetapi saringan ujian air kencing mendapati dia negatif dadah.
Namun Hamzah berkata, suspek mempunyai dua rekod kesalahan lampau berkaitan jenayah dan dadah.
Tambah beliau lagi, kes ini disiasat di bawah Seksyen 353 Kanun Keseksaan, 506 Kanun Keseksaan dan Akta Polis 1967.
Susulan tangkapan itu, suspek kini direman empat hari bagi membantu siasatan.
Gempar! Balai Polis Ulu Tiram diserang pada 17 Mei lalu
Terdahulu, negara digemparkan dengan kejadian Balai Polis Ulu Tiram, Johor yang diserang seorang lelaki menyebabkan dua anggota terbunuh manakala seorang lagi mengalami kecederaan.
Kejadian yang berlaku pada 17 Mei lalu sekitar jam 2.54 pagi itu turut menyebabkan suspek yang menyerang balai polis berkenaan maut di tempat kejadian akibat ditembak selepas menyerang anggota polis.
Suspek bukan anggota Jemaah Islamiyiah
Suspek sebelum ini disyaki seorang anggota Jemaah Islamiyah (JI) berdasarkan siasatan awal polis dan sejarah mengaitkan bapanya yang juga bekas anggota organisasi berfahaman militant dan ekstremisme itu.
Pun begitu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, siasatan lanjut mendapati lelaki terbabit bukanlah anggota JI.
Baca Artikel Berkaitan: