fbpx
Now Reading
Mengaku Salah Masak Mi Segera Di Stesen Minyak, 4 Individu Didenda RM500

Mengaku Salah Masak Mi Segera Di Stesen Minyak, 4 Individu Didenda RM500

Empat tertuduh yang mengaku bersalah atas kesalahan memasak mi segera di stesen minyak tersebut turut meminta agar denda dikurangkan memandangkan ia juga adalah kesalahan pertama mereka.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Sebelum ini, tular video di media sosial memaparkan aktiviti sekumpulan geng kereta yang bertindak memasak mi segera di stesen minyak, Genting Highlands.

Perkara itu secara tidak langsung telah mengundang perhatian ramai yang mengkritik tindakan kumpulan terbabit dan menyifatkan ia sesuatu yang bahaya.

Ekoran itu, pihak polis kemudiaannya telah menahan 15 individu dipercayai terlibat dalam kes tersebut untuk siasatan lanjut.

Mereka kemudiannya dibebaskan dengan jaminan polis dan 4 individu dari 15 yang ditahan dibawa ke mahkamah pada hari ini (21 Mei).

Baca artikel berkaitan: 15 Orang Ditahan Kes Masak Mi Segera Di Stesen Minyak, Polis Sahkan Tiada Anak VIP

4 tertuduh mengaku bersalah masak mi segera di stesen minyak, denda RM500

Terbaharu, 4 tertuduh yang dihadapkan ke Mahkamah Majistret Bentong mengaku bersalah atas kesalahan yang dilakukan iaitu memasak mi segera menggunakan dapur gas di stesen tersebut.

Mereka yang berasal dari Melaka turut meminta agar denda dapat dikurangkan disebabkan kesemuanya mempunyai tanggungan iaitu ibu bapa serta adik-beradik.

Selain itu, mereka turut memaklumkan ini adalah kesalahan pertama yang dilakukan.

Empat individu yang terdiri dari seorang lelaki dan tiga wanita kemudiannya telah dikenakan hukuman denda sebanyak RM500 setiap seorang. Sekiranya gagal membayar denda tertuduh akan dikenakan hukuman penjara tiga hari.

Mereka iaitu Nur Azira Azman, 23, ejen hartanah; Fadhili Zil Ikram Sazalin Isran, 24, peniaga kedai makan; Nur Fatin Irdina Shahrulnizam, 24, pegawai khidmat pelanggan; dan Nur Anis Salleh, 24, pembantu pergigian dituduh mengikut Seksyen 336 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 di bawah akta sama.

4 tertuduh disoal majistret berhubung tindakan tak wajar masak mi segera di stesen minyak

Memetik laporan Kosmo, sewaktu pembicaraan tertuduh telah disoal oleh Majistret Nadhratun Naiem Zainan berkaitan tindakan mereka memasak mi segera di stesen minyak terbabit.

“Bagaimana awak semua boleh terfikir untuk memasak di stesen minyak? Awak tak fikir ke di bawah itu ada tangki minyak? Lepas itu muat naik dalam media sosial,” soal Majistret Nadhratun.

Awalnya rancang nak masak tempat lain, tertuduh kedua jelaskan tindakan masak mi segera adalah secara rawak

Ketika prosiding, Fadhli mengaku atas kesalahan dilakukannya dan memaklumkan kepada mahkamah rancangan awalnya mereka ingin memasak di kawasan lain tetapi sudah penuh.

Oleh itu, mereka membuat keputusan memasak di stesen minyak terbabit serta menganggap ia jauh dari ‘nozel’ minyak berkenaan dan berdekatan di laluan ke tandas.

Manakala tertuduh yang kedua iaitu Nur Fatin menjelaskan tindakan itu dibuat secara rawak ekoran mereka berasa lapar dan tidak memikirkan tentang bahaya di kawasan tersebut.

Perbuatan tertuduh turut disifatkan sebagai gopoh ekoran telah membahayakan keselamatan serta nyawa individu lain.

Ketika pembicaraan kesemua tertuduh tidak diwakili oleh mana-mana peguam dan pendakwaan dikendalikan oleh TImbalan Pendakwa Raya, Muhammad Zamharir Muhammad Zuhid.

Berdasarkan pertuduhan empat yang dituduh melakukan tindakan memasak mi segera secara bersama pada 12 Mei lalu sekitar 1.30 pagi.

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.