Kahwin, Bekerja & Meninggal Dunia Antara Faktor 984 Calon Tidak Ambil SPM Di Sabah
Terdahulu, Ketua Pengarah Pendidikan mendedahkan seramai 10,160 daripada 383,685 calon tidak menduduki peperiksaan SPM pada tahun 2023.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) merupakan peperiksaan yang paling penting buat pelajar di peringkat sekolah menengah.
Ini kerana sijilnya amat bernilai untuk digunakan oleh individu selepas tamat persekolahan khususnya ketika mencari pekerjaan atau menyambung pelajaran.
Namun, tidak semua orang bernasib baik dapat menduduki peperiksaan ini atas sebab-sebab tertentu.
Keadaan ini sememangnya membimbangkan kerana sijil ini penting untuk kegunaan pada masa hadapan.
Kahwin, Bekerja & Meninggal Dunia Jadi Punca Pelajar Di Sabah Tidak Menduduki SPM
Terbaharu, menurut Timbalan Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (JPNS) Nurani Fauziah, seramai 984 calon SPM di negeri itu tidak hadir menduduki peperiksaan tersebut pada tahun 2023.
Jelas Fauziah, antara faktor yang menjadi punca kepada keadaan itu adalah ada pelajar yang sudah berkahwin dan bekerja selain daripada meninggal dunia.
Katanya lagi, perkara itu hanya disedari pada hari pertama peperiksaan berlangsung dan ia tu diberi perhatian kerana jumlah pelajar yang keciciran menduduki SPM tinggi dan membimbangkan.
“Kita dapati ramai yang tidak hadir tapi punca ketidakhadiran itu ada pelbagai faktor, ada yang sudah bekerja, berkahwin dan kembali kepada-Nya (meninggal dunia).
“Itu antara faktor yang kita lihat tapi ada juga yang memang mungkin kurang berminat (menduduki SPM),” katanya yang dipetik daripada Harian Metro.
Jumlah Menurun Berbanding Tahun Lalu
Namun, jumlah itu dilihat menunjukkan perkembangan positif apabila bilangan ketidakhadiran pelajar menurun jika dibandingkan dengan tahun 2022 iaitu seramai 1,564 orang.
“Kita akan lihat bagaimana kita boleh membantu anak-anak kita ini. Ada yang memang mungkin kurang minat ke sekolah, tapi Insya-Allah kita akan lihat apa yang boleh dibantu,” jelasnya lagi.
1,724 Calon SPM Di Selangor Tidak Duduki Peperiksaan
Dalam pada itu, seramai 1,724 calon SPM di negeri Selangor juga tidak menghadirkan diri menduduki peperiksaan tersebut.
Menurut Pengarah Pendidikan Selangor Dr. Jafri Abu, calon berhenti sekolah dan dalam tahanan polis menjadi antara faktor yang menyumbang kepada keadaan itu.
Namun, yang paling banyak menyumbang kepada statistik di negeri Selangor adalah calon tidak dapat dikesan.
“Bagaimanapun, kita dapat ada juga calon-calon tidak hadir disebabkan berhenti sekolah, kemalangan, telah meninggal dunia, sakit, dalam tahanan polis dan paling banyak adalah tidak dapat dikesan,” kata Jafri.
Terdahulu, media melaporkan seramai 10,160 daripada 383,685 calon tidak menduduki peperiksaan SPM pada tahun 2023.
Perkara itu didedahkan oleh Ketua Pengarah Pendidikan Azman Adnan dalam sidang media berhubung pengumuman analisis keputusan SPM 2023.
Jumlah itu nyata membimbangkan dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dijangka akan mengambil langkah intervensi bagi mengatasi masalah tersebut.
Baca Artikel Berkaitan: KPM Umum Lebih 10,000 Calon Tak Hadir SPM 2023
Baca Artikel Berkaitan: 431 Calon SPM Terkandas, Tak Boleh Duduki Peperiksaan Akibat Banjir