2 Pegawai Kanan Polis Didakwa Terlibat Rasuah RM1.25 Juta Untuk Tutup Kes Beli Senjata Api
Kedua pegawai kanan Bukit Aman itu bagaimanapun mengaku tidak bersalah sewaktu pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Azura Alwi.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Hari ini (28 Mei), dua pegawai kanan polis dari Bukit Aman telah dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.
Dua pegawai kanan iaitu Ketua Penolong Pengarah Siasatan Perakaunan Forensik serta Ketua Unit Siasatan Jenayah Cyrptocurrency, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) didakwa terbabit dalam kes rasuah bernilai RM1.25 juta dipercayai untuk menutup siasatan kes berhubung pembelian senjata api oleh seorang warga Israel pada April lalu.
Mengaku tak bersalah terhadap pertuduhan bersetuju menerima wang RM1 juta
Dua pegawai berkenaan iaitu Asisten Komisioner Chin Khiam Kong berusia 54 tahun serta Deputi Superintendan Suhairon Abdullah yang berumur 42 tahun walau bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Azura Alwi.
Berdasarkan kertas pertuduhan, dua Pegawai Kanan Polis Diraja Malaysia (PDRM) terbabit didakwa bersetuju serta mengambil rasuah wang tunai berjumlah RM1 juta dari seorang ahli perniagaan yang dikenali sebagai Khoo Zixian berusia 28 tahun.
Wang tersebut dipercayai sebagai dorongan untuk menutup siasatan jenayah terhadap lelaki terbabit berhubung kesalahan mengikut Seksyen 120 Kanun Keseksaan (Akta 574).
Memetik laporan Harian Metro, kesalahan berkenaandidakwa dilakukan di sebuah Bilik Mesyuarat Bahagian Siasatan Perakauanan Forensik / Cryptocurrency, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Menara KPJ, Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur di antara jam 12 tengah hari hingga 1 petang pada 8 April lepas serta pada jam 4.29 petang hingga 4.40 petang di tempat letak kereta menara yang sama.
Boleh dipenjara maksimum 20 tahun jika bersalah
Pertuduhan dua pegawai PDRM itu dikemukakan di bawah Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta 694) dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan (Akta 574) yang boleh dihukum di bawah seksyen 24(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta 694).
Jika sabit kesalahan tertuduh boleh dihukum penjara maksimum selama 20 tahun, denda tak kurang dari lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi.
Chin mengaku tak bersalah terhadap dua lagi pertuduhan
Sementara itu, Chin sewaktu di mahkamah yang sama turut mengaku tidak bersalah terhadap dua pertuduhan lain yang dibacakan iaitu bersetuju menerima rasuah RM250,000 untuk membantu menutup siasatan jenayah ke atas Khoo yang melibatkan kesalahan komersial di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan (Akta 574).
Kesalahan berkenaan didakwa dilakukan di pejabat Ketua Penolong Pengarah Siasatan Perakaunan Forensik, menara sama jam 12.30 tengah hari pada 18 April yang lepas serta di tempat parkir kenderaan berbayar menara terbabit jam 10.30 pagi hingga 1 petang pada 19 April.
Ikat jamin RM100,000 dengan seorang penjamin dan pasport diberikan kepada mahkamah
Ekoran daripada pengakuan tak bersalah dari dua pegawai berkenaan, Timbalan Pendakwa Raya Syed Faisal Syed Amir telah mencadangkan tertuduh diikat jamin RM100,000 dengan seorang penjamin dan perlu menyerahkan pasport kepada pihak mahkamah.
“Kesalahan dilakukan tertuduh adalah membabitkan jumlah melebihi RM1 juta dan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan jika sabit kesalahan denda lima kali ganda nilai suapan sehingga RM5 juta.
“Jaminan dan syarat dicadangkan adalah sesuai dan munasabah,” jelasnya.
Peguam wakili Chin minta mahkmah pertimbang jumlah rendah, tertuduh dah berkhidmat selama 29 tahun dalam PDRM
Walau bagaimanapun, peguam iaitu Jacky Loi yang mewakili Chin memohon pihak mahkamah untuk mempertimbangkan jumlah jaminan yang rendah dengan mengambil kira tertuduh telah berkhidmat selama 29 tahun dengan badan beruniform berkenaan.
“Chin berpangkat Penolong Pesuruhjaya Polis (ACP) dan mempunyai empat anak berusia 18, 23, 25, dan 27 tahun.
“Anak berusia 18 tahun masih belajar dan anak guam bakal menghadiri sesi perjumpaan ibu bapa di luar negara pada Jun ini.”
Selain itu, peguam turut memaklumkan bahawa Chin turut memberikan kerjasama yang penuh sewaktu ditahan oleh pihak polis selain tiada sebarang bukti serta kenyataan dikemuka bahawa Chin akan menghilangkan diri sekiranya pasport tidak diserahkan kepada mahkamah.
Peguam wakili Suhairon cadang RM15,000 wang jaminan dengan dua penjamin
Manakala peguam bela yang mewakili Suhairon iaitu Ridha Abdah Subri mencadangkan wang jaminan sebanyak RM15,000 dan dua penjamin bagi tertuduh dengan mengambil kira anak guam sudah berkhidmat lebih 20 tahun bersama PDRM.
“Anak guam sudah berkhidmat lebih 20 tahun dengan PDRM dan memberi kerjasama sepanjang siasatan. Tiada sebab untuk melarikan diri kerana isteri, anak dan keluarga terdekat berada di Malaysia.
“Suhairon mempunyai empat anak yang masih bersekolah dengan yang bongsu berusia tujuh tahun, manakala ibu bapanya berusia 80 tahun dalam keadaan uzur di kampung.
“Keluarga hanya mampu mengumpul RM15,000 (wang jaminan) dan percaya amaun itu adalah selari serta konsisten untuk memastikan kehadiran di mahkamah.”
Sebaik mendengar hujah dari kedua-dua peguam, Hakim Azura Alwi kemudian membenarkan jaminan sebanyak RM40,000 dengan seorang atau dua penjamin untuk setiap tertuduh selain syarat tambahan seperti dicadangkan oleh pihak pendakwaan.
Kes kemudian akan disebut semula pada 30 Julai.
Terdahulu Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain ada memaklumkan berhubung penahanan tiga pegawai berpagkat ACP, DSP serta Inspektor dari JSJK Bukit Aman di sekitar Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur.
Penahanan tiga pegawai itu adalah untuk membantu siasatan berhubung kes pemerasan RM1.25 juta.