Murid Dipercayai Didenda Berjemur Di Padang Sekolah Mungkin Bergelar OKU – Keluarga
Difahamkan, kanak-kanak darjah 5 itu terlibat dengan masalah kesihatan berkaitan saraf dipercayai akibat strok haba dialami sebelum ini.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Hari ini (29 Mei), ibu bapa kepada murid yang mengalami strok haba didakwa akibat didenda berjemur di padang oleh guru 30 April lalu memaklumkan bahawa anaknya akan dinilai sebagai orang kurang upaya (OKU).
Menurut ibu mangsa, AD Mogahana Selvi, 35, pihak Hospital Ampang telah mengeluarkan surat rujukan untuk anaknya dinilai sebagai OKU akibat masalah kesihatan tersebut.
Difahamkan kanak-kanak itu terlibat dengan masalah kesihatan berkaitan saraf dipercayai akibat strok haba dialami sebelum ini.
“Terus terang cakap saya sakit hati bila tengok keadaan anak tidak macam biasa. Dulu dia kerap bermain dengan abang dan adiknya, sekarang dia banyak menyorok dan bercakap sendiri,” kata si ibu.
Anak Perlu Dihantar Ke Sekolah Khas
Tambah Mogahana, pihak hospital memaklumkan bahawa anaknya tidak boleh belajar di sekolah seperti biasa akibat masalah tersebut selain memintanya untuk menghantar ke sekolah khas selepas ini.
Susulan itu, peguam mereka Dinesh Muthal mewakili anak guamnya akan mengemukakan saman sivil terhadap semua pihak yang terlibat dalam kes terbabit.
Kes ini memberi tekanan kepada ibu bapa mangsa terutamanya Mogahana yang kini mengandung tiga bulan, apabila terpaksa menerima hakikat yang kehidupan normal anaknya sudah berubah. Disebabkan itu selain tuntutan sivil, kami mahu guru terbabit dituduh di mahkamah dan dikenakan tindakan setimpal (jika disabitkan).
Dinesh Muthal.
Pihak Sekolah Keluarkan Surat Amaran Selepas Mangsa Tak Hadir Ke Sekolah
Sementara itu, Pengerusi Persatuan Pemas, S Dayalan menegaskan bahawa siasatan pihak berkuasa dan tindakan lanjut diambil pihak sekolah terhadap kes berkenaan adalah tidak memuaskan.
Beliau dalam masa sama turut mempertikaikan tiga surat amaran dikeluarkan pihak sekolah termasuk surat amaran terakhir pada 23 Mei terhadap ibu bapa. Surat amaran itu adalah kerana anak yang tidak hadir ke sekolah sejak 2 hingga 23 Mei lalu.
“Tetapi dalam tempoh itu, isu murid terbabit yang dijemur tidak dibincangkan dengan ibu bapa kanak-kanak berkenaan,” tambah Dayalan.
Murid Didakwa Didenda Berjemur Di Padang Selepas Mengadu Ada Rakan Memukulnya
Terdahulu, seorang murid darjah 5 dikejarkan ke hospital selepas didakwa didenda oleh guru untuk berjemur di padang sekolah dari jam 10 pagi hingga 12.50 tengah hari.
Anak maklumkan kepada saya bahawa dia ada membuat aduan kepada cikgu itu kerana ada murid lain memukulnya. Tetapi cikgu itu mengambil tindakan mendenda anak saya supaya berjemur di padang sekolah.
Ibu mangsa.
Si ibu berkata, anaknya kelihatan lemah dan tidak ada selera makan selain meminta dibawa ke hospital kerana berasa sakit. Doktor yang merawat mangsa kemudian memaklumkan murid tersebut mengalami ‘heat exhaustion’.
Memetik Harian Metro, siasatan Polis Daerah Ampang Jaya mendapati suspek yang juga guru sekolah terbabit berusia 37 tahun memberi hukuman denda berdiri terhadap mangsa bersama tiga rakannya yang lain berdurasi 10 minit.
Kes kini disiasat mengikut Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001.
Baca Artikel Berkaitan: Pegawai Muda Tentera Maut, 9 Lagi Stabil Selepas Alami Strok Haba Ketika Kursus
Baca Artikel Berkaitan: “Jangan Tinggal Anak Dalam Kereta, Elak Strok Haba” – Datuk Dr Zainal Ariffin Omar