Kes Pukul OKU, Pegawai Polis Terlibat Akan Dipanggil Ke Bukit Aman – KPN
Menurut Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain ia bagi memastikan siasatan menyeluruh dapat dilakukan dan semua pihak terlibat dapat memberi keterangan.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami!
Follow Kami
Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan memanggil semua pegawai polis yang terlibat dalam insiden seorang anggota pengiring memukul pemandu e-hailing berstatus Orang Kelainan Upaya (OKU) di Kuala Lumpur pada 28 Mei lalu.
Menurut Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain, ia bagi memastikan siasatan menyeluruh dapat dilakukan dan semua pihak terlibat dapat memberi keterangan.
“Pegawai-pegawai terbabit dalam insiden ini akan dipanggil ke Bukit Aman untuk membantu siasatan.
“Langkah ini diambil untuk memastikan penyiasatan dilakukan secara menyeluruh dan semua pihak yang terbabit dapat memberikan keterangan mereka.”
Tambah Razarudin lagi, keutamaan dalam setiap siasatan adalah untuk memastikan tiada pelaku yang terlepas daripada tanggungjawab atas perbuatan mereka.
TMJ gesa siasatan menyeluruh
Terdahulu Pemangku Sultan Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim menggesa pihak berkuasa untuk menyiasat secara menyeluruh berhubung insiden seorang pegawai polis pengiring yang memukul seorang pemandu e-hailing OKU di Hotel St Regis, Brickfields berdekatan KL Sentral.
Malah baginda turut berharap pihak berkuasa akan mengambil tindakan undang-undang serta memberikan keadilan yang sewajarnya kepada pemandu terbabit.