Sebelum ini, tular satu video di media sosial memaparkan tindakan bahaya seorang pemandu bas ekspres yang memotong di selekoh garisan berkembar di laluan Kelantan-Perak.
Menerusi video dashcam yang dipercayai dari sebuah treler, kedengaran kenderaan tersebut membunyikan hon sebaik melihat bas terbabit cuba untuk memotong sebuah lori.
Berang dengan tindakan bas berkenaan, pemandu treler kemudiannya menegur pemandu bas tersebut dan memintanya untuk bersabar kerana tindakannya adalah berbahaya.
Malah dalam insiden yang berlaku pada 1 Jun lalu, bas tersebut juga sedang membawa penumpang.
Pemandu bas digantung tugas serta-merta
Susulan daripada penularan video tersebut, pihak syarikat bas iaitu Konsortium E-Mutiara Bhd (E-Mutiara) telah bertindak mengantung tugas pemandu terbabit serta-merta, lapor Sinar Harian.
Selain itu menurut pengerusinya, Che Ibrahim Che Ismail pemandu bas itu juga dipanggil untuk siasatan dalaman berhubung insiden tersebut.
“E-Mutiara mengambil serius perkara tersebut dan sama sekali tidak akan berkompromi dengan individu yang melakukan kesalahan,” ujarnya.
JPJ keluar notis siasat insiden babitkan pemandu bas memotong di garisan berkembar
Terbaharu, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Kelantan telah mengambil tindakan awal dengan mengeluarkan Notis Panggilan Temusiasat (114) di bawah Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 kepada pemilik syarikat bas berkenaan.
“Pihak JPJ Negeri Kelantan menasihatkan agar pemandu kenderaan pengangkutan awam supaya sentiasa memandu secara berhemah dan bertoleransi sesama pengguna jalan raya yang lain,” katanya dalam satu video yang dimuat naik di Facebook.