Pemandu E-Hailing Didakwa Burukkan Islam & Malaysia Ketika Bawa Pelancong Asing
Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Amal Sejagat Malaysia, Mod Nor Izzat menyifatkan tindakan pemandu e-hailing terbabit sebagai satu perkara yang memalukan dan mahu pihak berkuasa mengambil tindakan tegas.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Tidak dinafikan Malaysia mempunyai banyak tempat-tempat yang menarik untuk dilawati dan sering menjadi tumpuan pelancong dalan negara dan juga asing.
Namun sebagai penduduk di negara ini, kita hendaklah menyambut kedatangan pelancong khususnya warga asing dengan perkara yang baik tentang sesebuah tempat agar ia memberikan perspektif yang bagus tentang sesebuah negara.
Apatah lagi jika seseorang itu menjalankan perkhidmatan yang sering berjumpa dengan orang awam dan juga pelancong seperti pemandu e-hailing.
Pemandu e-hailing didakwa burukkan Islam & Malaysia ketika bawa pelancong asing
Namun baru-baru ini, seorang pemandu e-hailing telah mengundang rasa marah orang ramai apabila dia dirakam memburukkan agama Islam dan Malaysia ketika sedang membawa pelancong asing.
Menerusi video yang tular di media sosial, awalnya kelihatan pemandu berkenaan menjemput sepasang pelancong yang berasal daripada England.
Dalam video itu, pemandu berkenaan awalnya mencadangkan kepada pelancong itu untuk ke beberapa tempat seperti Pulau Pinang dan Langkawi. Namun perbualan itu mula memesong apabila dia memburukkan Islam dan Malaysia.
“Ini adalah negara Muslim, mereka mahu kita mengikuti agama mereka dan itu tidak adil. Setuju?” soalnya kepada pelancong tersebut.
Malah dia turut mendakwa negara ini mengharamkan segala aktiviti tersebut dan memberi gambaran ia seperti duduk di dalam gua dan hutan.
Video yang tular di TikTok tersebut bagaimanapun telah dipadam namun ramai netizen yang berjaya memuat turun dan berkongsikannya di platform media sosial lain.
Tindakan pemandu burukkan Islam disifatkan sebagai pemikiran sempit
Tindakan pemandu terbabit memburukkan Islam kepada pelancong asing telah mengundang perhatian ramai pihak termasuklah Ketua Aktivis Gabungan E-hailing Malaysia iaitu Jose Rizal yang kecewa dengan video tersebut.
Malah Jose Rizal turut menyifatkan tindakan pemandu terbabit menunjukkan pemikirannya yang sempit.
“Apa yang diperkatakan oleh pemandu itu (berkaitan agama Islam) kepada pelancong asing adalah salah dan ia memperlihatkan pemikirannya yang sempit.
“Justeru itu, kita menggesa supaya tindakan tegas diambil oleh pihak syarikat e-hailing dengan memberhentikan khidmat lelaki terbabit,” ujarnya, lapor Harian Metro.
Syarikat perlu beri amaran agar perkara tak berulang lagi
Selain itu, dia berpendapat syarikat pengendali perlu meningkatkan amaran dan peringatan terhadap pemandu agar tidak melakukan kesilapan sedemikian.
Katanya lagi pemandu e-hailing seperti duta kecil negara dan perkara yang berlaku seperti ini boleh memberi kesan kepada syarikat termasuk negara dari segi keharmonian.
“Pemandu-pemandu e-hailing ini umpama duta kecil negara kita dan apabila perkara sebegini berlaku, ia bukan sahaja menjejaskan syarikat terbabit tetapi juga negara (rosakkan keharmonian).
“Disebabkan itu, kita mahu supaya syarikat e-hailing bertanggungjawab menyediakan garis panduan yang sentiasa diingatkan kepada pemandu bagi mengelak perkara ini berulang.”
Malaysia negara berpelembagaan, orang bukan Islam tak dilarang untuk minum arak dan berjudi
Dalam pada itu Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Amal Sejagat Malaysia, Mohd Nor Izzat Mohd Johari menyifatkan perbuatan pemandu berkenaan sebagai satu perkara yang memalukan negara.
Ujarnya Malaysia merupakan negara yang berpelembagaan dan tidak ada individu bukan Islam dilarang daripada meminum arak serta berjudi.
“Ini adalah penghinaan yang amat serius dan kita mahu pihak berkuasa mengambil tindakan tegas dengan segera terhadap individu terbabit.
“Termasuklah tindakan oleh pihak polis dengan menahan individu berkenaan serta perkhidmatannya dalam syarikat e-hailing diberhentikan serta merta,” ujarnya lagi.
Hasil semakan yang dibuat pihak polis mendapati belum ada lagi laporan diterima mengenai kejadian berkenaan ketika ini.