fbpx
Now Reading
PIBG, Lembaga Sekolah SMJK & SMC Bantah Pelaksanaan Satu Kelas Guna BM Sebagai Bahasa Pengantar

PIBG, Lembaga Sekolah SMJK & SMC Bantah Pelaksanaan Satu Kelas Guna BM Sebagai Bahasa Pengantar

Mereka juga turut menggesa Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) agar mendengar bantahan itu serta menghormati kehendak ibu bapa dan kembali ke hasrat asal Program Dwibahasa (DLP) dalam Sains dan Matematik.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Umum mengetahui Bahasa Melayu merupakan bahasa kebangsaan seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Malaysia di bawah Perkara 152.

Bahasa ini juga menjadi bahasa ilmu dan medium pengajaran serta pembelajaran hingga ia termaktub dalam Akta Pendidikan 1961 (Pindaan 1966).

Oleh sebab itu, kebanyakan institusi pendidikan di Malaysia menggunakan Bahasa Melayu sebagai medium perantaraan.

Pun begitu, ada juga subjek tertentu seperti Sains dan Matematik diajar dalam Bahasa Inggeris khususnya di Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan di bawah Program Dwibahasa (DLP).

Namun, sekitar tahun lalu ada laporan yang memetik Sin Chew Daily menyatakan Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) tidak lagi boleh mengajar dua subjek berkenaan hanya dalam Bahasa Inggeris bermula tahun ini.

Di dalam laporan itu, bermula tahun 2024, jika keputusan subjek Bahasa Melayu sesetengah pelajar Tingkatan Satu di SMJK Cina lemah, maka mereka perlu melaksanakan pengajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Melayu sekurang-kurangnya satu atau dua kelas.

Bantah Pelaksanaan Paksa Pengggunaan Bahasa Melayu Sebagai Bahasa Pengantar

Terbaharu, Lembaga Sekolah dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) daripada 11 SMJK dan Sekolah Menengah Cina (SMC) di Pulau Pinang menyuarakan bantahan keras terhadap pelaksanaan paksa sekurang-kurangnya satu kelas menggunakan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar.

Memetik Harian Metro, sekolah separuh kerajaan jenis Cina mendakwa hampir semua ibu bapa di sekolah berkenaan menentang dasar tersebut dan enggan memasukkan anak mereka ke dalam kelas berkenaan.

Malah, mereka juga turut menggesa Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) agar mendengar bantahan itu serta menghormati kehendak ibu bapa selain mengekalkan subjek Sains dan Matematik diajar dalam Bahasa Inggeris seperti yang masih diamalkan di sekolah berkenaan ketika ini.

JPN Telah Hantar Surat Arahan Pelaksanaan

Menurut Pengerusi Lembaga Pengarah Sekolah Menengah Chung Ling Pulau Pinang Datuk Seri Koay Hean Eng, Jabatan Pendidikan Negeri telahpun menghantar surat kepada pengetua 36 buah Sekolah Kebangsaan (SK) dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) serta 52 SMJK dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK).

Beliau yang mewakili 11 buah sekolah itu menjelaskan surat yang diterima pada 15 April itu secara rasmi mengumumkan salah satu arahan kementerian adalah dengan menguatkuasakan pelaksanaan sekurang-kurangnya satu kelas menggunakan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar di semua SMJK mulai tahun ini.

Malah, kelas terbabit perlu mempunyai sekurang-kurangnya 20 orang pelajar.

 “Kami, wakil Lembaga Sekolah dan 11 PIBG sekolah di Pulau Pinang, ingin menyatakan bantahan sekeras-kerasnya terhadap pelaksanaan paksa sekurang-kurangnya satu kelas bukan DLP bagi mata pelajaran Sains dan Matematik dalam semua SMJK dan SMC di Pulau Pinang.

“Ia menyebabkan percanggahan besar di dalam kalangan ibu bapa yang menentang keras dasar itu. Ia juga menimbulkan masalah yang tidak perlu kepada pentadbiran sekolah.

“Akibatnya, ia menimbulkan kekeliruan dan ketidakseimbangan psikologi dalam kalangan pelajar.

“Dasar ini sama sekali tidak mengendahkan kehendak ibu bapa dan bertentangan dengan hasrat asal DLP, yang sepatutnya memperkukuh dan melengkapkan pelajar dengan lebih baik dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), dan Pendidikan Teknikal dan Latihan (TVET) untuk meneruskan matlamat pelan induk industri baharu 2030,” katanya yang dipetik daripada Harian Metro.

Jelas Hean Eng lagi, pelaksanaan DLP terhadap dua subjek itu bukan hanya dapat memastikan kesinambungan pelajar antara pendidikan menengah dan pengajian lanjutan di peringkat kolej serta universiti, malah ia dilihat mampu meningkatkan daya saing pelajar di peringkat antarabangsa.

“Sekiranya hasrat kementerian untuk meningkatkan penguasaan murid dalam Bahasa Melayu, maka kementerian harus lebih berusaha dalam mereka bentuk semula sukatan pelajaran Bahasa Melayu dan mengkaji semula kaedah pengajarannya daripada menggunakannya (Bahasa Melayu) sebagai medium pengajaran Sains dan Matematik malah mungkin memberi kesan buruk kepada pelajar yang sudah ‘lemah’ dalam Bahasa Melayu,” katanya.

Ada Ibu Bapa Yang Keberatan Membenarkan Anak Belajar Di Kelas Berkenaan

Pada masa yang sama, menurut Pengerusi PIBG Sekolah Menengah Perempuan Cina Pulau Pinang Dr Goh Huck Keen, pihaknya telahpun memulakan kelas berkenaan pada tahun ini namun ada ibu bapa yang berat membenarkan anak mereka belajar di kelas tersebut.

Jelas Huck Keen, pemilihan pelajar ke kelas itu adalah berdasarkan keputusan darjah enam mereka.

“Ibu bapa, yang anak mereka berada di dalam kelas, melihat ini sebagai satu bentuk hukuman paksa ke atas anak mereka dan tidak berpuas hati dengan keadaan itu.

“Mereka juga secara berterusan membangkitkan perkara ini dengan pihak pentadbir sekolah,” katanya.

Situasi yang sama turut dikongsikan oleh Setiausaha Lembaga Sekolah Menengah Chung Ling Pulau Pinang Foo Wan P’ng.

“Di Butterworth, hanya beberapa pelajar saja di dalam kelas, manakala di Pulau Pinang, tiada seorang pun pelajar. Kami menghadapi tentangan hebat daripada ibu bapa.

“Pegawai Jabatan Pendidikan negeri datang meninjau pelaksanaan kelas itu dan kita beritahu situasi yang kita hadapi.

“Mereka memberitahu kami mereka akan menempatkan pelajar di dalam kelas,” katanya.

Baca Artikel Berkaitan: Lelaki Kongsi Kenapa Graduan STEM Sukar Dapatkan Pekerjaan Dalam Bidang Sama Di Malaysia

Baca Artikel Berkaitan: Minat Golongan Muda Terhadap Bidang STEM Semakin Membimbangkan – Menteri Sains, Teknologi & Inovasi

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.