Polis Sahkan Ancaman Bom Di MOTAC Adalah Palsu
Menurut Ketua Polis Daerah Putrajaya, pengesahan itu dibuat selepas Unit Pemusnah Bom menjalankan pemeriksaan dengan menggunakan dua ekor anjing dan teknologi.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Semalam (5 Jun), negara digemparkan dengan ancaman bom di tingkat 14 bangunan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC).
Ancaman tersebut timbul setelah satu bungkusan yang dipercayai mengandungi bahan letupan dihantar menggunakan perkhidmatan penghantaran ke bangunan tersebut.
Insiden itu menyebabkan kesemua kakitangan dan pelawat di bangunan tersebut diarah untuk mengosongkan bangunan.
Difahamkan, pejabat sementara Menteri Pelancongan, Seni & Budaya Datuk Seri Tiong King Sing ditempatkan di aras tersebut.
Baca Artikel Berkaitan: Ancaman Bom: Kakitangan & Pelawat MOTAC Diarah Kosongkan Bangunan
Ancaman Bom Adalah Palsu
Terbaharu, polis mengesahkan bungkusan yang dihantar ke King Sing adalah palsu. Menurut Ketua Polis Daerah Putrajaya A.Asmadi Abdul Aziz, pengesahan itu dibuat selepas Unit Pemusnah Bom menjalankan pemeriksaan dengan menggunakan dua ekor anjing dan teknologi.
“Kita dapati ialah bom palsu yang hampir menyerupai bom,” katanya yang dipetik dari Sinar Harian.
Jelasnya, hasil rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan bungkusan yang dipercayai mempunyai bahan letupan menyerupai bom itu dihantar menggunakan perkhidmatan kurier J&T pada jam 11.19 pagi semalam.
“Kita dapat maklumat pertama jam 3.21 petang dari panggilan daripada MERS 999 dan saya sendiri menerima panggilan daripada menteri mengenainya.
“Bungkusan tersebut diambil dan dibawa naik ke tingkat 14 pada jam 2.45 petang dan apabila dibuka didapati ia diletakkan bersama paip polyvinyl chloride (PVC), wayar dan ‘timer’,” katanya.
Kes Disiasat Mengikut Seksyen 8 Akta Letupan dan Bahan Api 1957
Tambahnya lagi, kes kini disiasat di bawah Seksyen 8 Akta Letupan dan Bahan Api 1957.
“Kita akan lihat segenap sudut termasuk ketenteraman awam dan ugutan.
“Kami tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat,” ujarnya.
Asmadi turut meminta bantuan orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian tersebut untuk tampil ke Ibu Pejabat Daerah (IPD) Putrajaya.
“Kita tidak mahu sebarang spekulasi dibuat,” katanya.
BOMBA Turut Sahkan Terima Panggilan Tentang Ancaman Bom
Dalam pada itu, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) turut mengesahkan ada menerima panggilan kecemasan berhubung ancaman itu.
Menurut Ketua Pengarah JBPM Datuk Nor Hisham Mohammad, pihaknya menerima panggilan melalui talian MERS 999 berhubung ancaman bom tersebut pada jam 3.27 petang.
Jelasnya, orang ramai telah diarahkan untuk mengosong dan keluar daripada bangunan yang terletak di Presint 5, Putrajaya sebaik pasukan keluaran operasi (PKO) tiba di tempat kejadian.
“Pasukan anggota JBPM telah dikejarkan ke lokasi kejadian dan membantu orang ramai untuk mengosongkan bangunan itu.
“Selain JBPM yang hadir memberi khidmat dan mengawasi tahap keselamatan orang ramai, unit bom daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) turut hadir ke lokasi bagi membuat pemeriksaan,” ujarnya.
Baca Artikel Berkaitan: Ancaman Bom: Kakitangan & Pelawat MOTAC Diarah Kosongkan Bangunan
Baca Artikel Berkaitan: Polis Sahkan 9 Sekolah Di Lembah Klang Terima Ancaman Bom Hari Ini