fbpx
Now Reading
Ringankan Beban Petugas Kesihatan, KKM Semak Semula Amalan Kerja Termasuk ‘On Call’

Ringankan Beban Petugas Kesihatan, KKM Semak Semula Amalan Kerja Termasuk ‘On Call’

Menurut Dr. Dzulkefly Ahmad, pihaknya bersetuju dengan seruan untuk melakukan anjakan budaya agar kesihatan dan kesejahteraan petugas kesihatan dapat diiktiraf.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Sejak beberapa bulan yang lalu, isu beban kerja dalam kalangan petugas kesihatan hangat diperkatakan sehingga ke hari ini.

Dapat dilihat di platform media sosial luahan dan kekecewaan segelintir pekerja dalam bidang ini yang penat dengan beban serta tempoh waktu kerja yang panjang.

KKM Semak Semula Amalan Budaya Kerja

Terbaharu, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sedang membuat semakan semula terhadap budaya kerja sedia ada seperti tugasan dalam panggilan (on-call) yang terlalu panjang.

Semakan ini sebagai langkah bagi mengurangkan beban kerja melampau yang dihadapi oleh petugas kesihatan di negara ini.

Menurut Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad, pihaknya bersetuju dengan seruan untuk melakukan anjakan budaya agar kesihatan dan kesejahteraan petugas kesihatan dapat diiktiraf.

Jelas beliau, anjakan ini termasuk mewujudkan keseimbangan antara pekerjaan dan kehidupan serta upah yang lebih saksama.

“Walaupun pengumuman kenaikan gaji untuk penjawat awam baru-baru ini adalah langkah permulaan yang baik, inisiatif di KKM turut meliputi insentif bukan kewangan.

“KKM juga mengambil langkah lain yang rencam untuk menangani cabaran-cabaran sedia ada termasuklah dengan mengoptimumkan taburan pesakit dengan adanya kluster hospital dan mengadakan kerjasama awam-swasta untuk aktiviti penyumberluaran,” katanya.

Panjangkan Tempoh Operasi Klinik Kesihatan

Tambah beliau lagi, bagi mengurangkan beban petugas di hospital, KKM akan memanjangkan tempoh operasi klinik kesihatan selain mengenal pasti jurang tenaga kerja melalui tinjauan bekalan dan permintaan (supply and demand) yang dibuat dengan kerjasama Bank Dunia.

Walau bagaimanapun menurut beliau, pembinaan sebuah sistem kesihatan yang berdaya tahan dan mampan memerlukan strategi pembiayaan yang komprehensif dan jangka panjang.

“Dalam konteks ini, pasukan transformasi kesihatan KKM bersedia untuk berkongsi idea melalui sesi-sesi libat urus.

“Selari dengan anjakan paradigma KKM daripada rawatan kepada pencegahan penyakit secara proaktif, KKM juga ingin menyeru rakyat Malaysia untuk mengamalkan gaya hidup yang lebih sihat.

“Hal ini penting terutamanya susulan pendedahan kadar prevalens penyakit tidak berjangkit (NCD) yang agak serius dalam dapatan Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan terbaharu,” ulasnya.

Mohon Profesional Kesihatan KKM Terus Sabar

Dr. Dzulkefly turut menyeru agar petugas kesihatan khususnya para profesional KKM untuk bersabar sementara pembaharuan yang dirancang dapat dilaksana.

“Persefahaman dan sumbangan berterusan semua pihak amatlah dihargai, terutamanya bagi menjayakan perubahan positif yang diusahakan.

“KKM komited untuk menangani isu-isu ini secara serius, dan memberi jaminan untuk terus memperkasa strategi mengikut keperluan.

“Dialog secara terbuka haruslah diteruskan agar kemajuan bersama dapat dijayakan,” katanya.

Kenyataan Media Kementerian Kesihatan Malaysia Petugas Kesihatan adalah Aset Berharga Negara #KKMPrihatin #KKMSihat #MalaysiaMadani

Posted by KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA on Thursday 6 June 2024

Baca Artikel Berkaitan: Risau Pesakit Mungkin Kena Tunggu Lama, Notis Permohonan Maaf Hospital Undang Perhatian

Baca Artikel Berkaitan: Dr Zaliha Minta Petugas Kesihatan Buat Aduan Melalui Sistem MyHELP Jika Jadi Mangsa Buli

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.