
IJN Diiktiraf 26 Hospital Pakar Terbaik Di Asia Pasifik 2024
IJN telah menaiki empat lagi anak tangga apabila tersenarai di kedudukan ke-26 antara Hospital Pakar Terbaik Asia Pacific (APAC) untuk tahun 2024 berbanding kedudukan ke-30 pada 2023.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Umum mengetahui sektor kesihatan merupakan aset yang sangat penting terhadap sesebuah negara. Fasiliti kesihatan seperti hospital yang canggih dan pakar yang berkemahiran adalah perkara yang diperlukan.
Ini kerana, ia secara tidak langsung dapat membantu merawat masyarakat di negara ini tanpa perlu berbelanja mahal untuk ke luar negara dalam mendapatkan rawatan yang terbaik.
IJN naik empat anak tangga, tersenarai di kedudukan ke-26
Terbaharu, Institut Jantung Negara (IJN) telah tersenarai berada di tempat ke-26 antara Hospital Pakar Terbaik di Asia Pasifik (APAC) 2024 oleh Newsweek.
Pengiktirafan itu secara tidak langsung telah membuatkan IJN naik sebanyak empat anak tangga berbanding tangga ke-30 pada tahun 2023.

Di tempat ke-46 dalam bidang pembedahan jantung
Menurut Jabatan Komunikasi IJN, hospital terbabit turut berada di tempat ke-46 di dalam bidang pembedahan jantung yang baru diperkenalkan pada ranking kali ini.
Jelasnya lagi, senarai ranking berkenaan dikeluarkan majalah Newsweek di Amerika Syarikat bersama firma penyelidikan pasaran global Statista.
Memetik laporan Kosmo, perkara itu secara tidak langsung telah memberikan penghormatan kepada hospital khusus yang terkenal di 9 negara di rantau APAC seperti:
- Australia
- India
- Indonesia
- Jepun
- Malaysia
- Singapura
- Korea Selatan
- Taiwan
- Thailand
“Untuk tahun kedua, penarafan ini merangkumi beberapa tonggak dan paling utama adalah tinjauan antarabangsa dalam talian terhadap profesional perubatan untuk mengukur reputasi penyedia kesihatan.
“Tinjauan edisi kali ini dikumpulkan daripada beribu-ribu pengamal perubatan dan pentadbir kesihatan di seluruh negara APAC antara Februari hingga April lalu di mana peserta mengesyorkan hospital dalam bidang kepakaran mereka sendiri serta bidang perubatan sekunder,” jelasnya.
Gembira dengan pengiktirafan diterima, akan sediakan perkhidmatan lebih baik
Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif IJN Datuk Dr Aizai Azan Abdul Rahim memaklumkan pihaknya sangat gembira dengan pengiktirafan itu sekali lagi pada tahun ini serta akan menyediakan perkhidmatan atau servis yang lebih baik selepas ini.
“Ini membuktikan bahawa kami berada di landasan yang tepat ke arah kecemerlangan bagi penjagaan kesihatan. Kami amat berterima kasih atas dedikasi dan komitmen berterusan seluruh pasukan.”
Malah pengiktirafan itu turut dikongsikan IJN di Facebook rasmi mereka.
Baca artikel berkaitan: IJN Duduki Tangga Ke-30 Sebagai Hospital Pakar Terbaik Di APAC